Gambar disalah guna, Dr. Zaliha nafi terlibat penempatan Rohingya

LocalPolitics
27 Sep 2026 • 11:22 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Gambar disalah guna, Dr. Zaliha nafi terlibat penempatan Rohingya

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa menafikan dakwaan kononnya beliau menjemput seorang individu ke majlis perasmian atau pecah tanah bagi mewujudkan penempatan baharu etnik Rohingya.

Beliau berkata, dakwaan yang sedang beredar di media sosial itu tidak benar dan dipercayai menggunakan sekeping gambarnya bersama seorang individu di luar konteks.

Menurutnya, beliau tidak mengenali individu berkenaan secara peribadi serta tidak mempunyai sebarang hubungan atau urusan dengannya, sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi.

“Saya juga tidak pernah menghadiri, merasmikan atau terlibat dalam mana-mana majlis perasmian atau pecah tanah bagi tujuan mewujudkan penempatan Rohingya seperti yang didakwa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Zaliha berkata, berdasarkan semakan, gambar berkenaan dipercayai dirakam ketika berlangsungnya ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF), ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) dan Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre pada 12 Ogos 2025.

Katanya, ketika itu beliau dijemput menyampaikan Special Address sebelum menghadiri majlis perasmian bersama program berkenaan yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Program tersebut terbuka kepada orang awam untuk mendaftar sebagai peserta. Justeru, saya tentunya tidak mengetahui identiti setiap individu yang hadir.

“Sekeping gambar bersama seseorang peserta tidak bermaksud saya mengenalinya, mempunyai hubungan dengannya, menjemputnya secara peribadi atau menyokong pandangan mahupun tindakannya,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliha turut mengingatkan bahawa ketika menerajui Wilayah Persekutuan, beliau menubuhkan KL Strike Force sebagai mekanisme penguatkuasaan bersepadu bagi menangani isu keselamatan dan ketenteraman awam, termasuk isu lambakan warga asing serta penempatan haram warga Rohingya.

“Malah, operasi pertama KL Strike Force adalah menggempur penempatan haram warga Rohingya di Bandar Baru Sentul.

“Melalui KL Strike Force, saya menegaskan supaya tindakan diambil terhadap penempatan dan struktur haram, perniagaan tanpa lesen serta aktiviti warga asing yang tidak mempunyai kebenaran sah,” katanya.

Zaliha berkata, pada masa sama, peniaga tempatan yang layak dipermudah melalui proses pemutihan, pelesenan dan penempatan semula ke lokasi perniagaan lebih teratur menerusi inisiatif Lestari Niaga.

Justeru, beliau menegaskan dakwaan bahawa dirinya pernah menghadiri, merasmikan, menyokong atau memudah cara penempatan baharu Rohingya adalah tidak benar dan bercanggah dengan rekod tindakan yang pernah dilaksanakannya.

“Saya menyeru semua pihak supaya tidak mengambil sekeping gambar di luar konteks untuk membina naratif yang tidak berasaskan fakta.

“Sehubungan itu, saya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung penyebaran hantaran tersebut untuk penelitian dan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” katanya.- KOSMO! ONLINE

The post Gambar disalah guna, Dr. Zaliha nafi terlibat penempatan Rohingya appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved