Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada pihak yang menyediakan, menyaksikan dan menyimpan dokumen untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaan Datuk Ismail Lasim bahawa beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ahmad Zahid berkata, perkara berkenaan berada di luar pengetahuan rasmi UMNO dan Barisan Nasional (BN), selain menegaskan beliau sendiri tidak berada ketika proses penandatanganan dokumen tersebut dilakukan.
“Ya, beliau (Ismail) telah menafikan bahawa saya terlibat dan berada ketika penandatanganan proklamasi berkenaan.
“Jadi saya telah menyatakan semalam bahawa kita serahkan kepada peguam yang menyediakan dokumen berkenaan dan yang menyaksikan serta menyimpan dokumen itu untuk membuat kenyataan, ia di luar daripada pengetahuan secara rasmi oleh pihak UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Buku 13 Propaganda Perang Sun Tzu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Mengulas secara khusus mengenai dakwaan Ismail bahawa beliau dipaksa menandatangani surat cara berkenaan, Ahmad Zahid berkata beliau tidak dapat memberikan ulasan lanjut kerana tidak hadir dalam majlis atau ketika proses penandatanganan itu berlangsung.

“Saya tidak jelas mengenai perkara itu sebab saya tidak berada dalam majlis ataupun ketika penandatangan itu dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa Ismail dijangka bertemu dengannya sepanjang PAU 2026 bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai kenyataan yang dibuat berhubung surat cara proklamasi tersebut.
“Ya, beliau pastinya akan bertemu dengan saya ketika Perhimpunan Agung ini diadakan dan penjelasan akan dibuat oleh beliau dan saya akan bertanya latar belakang mengenai kenyataan beliau,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa beberapa pemimpin kanan UMNO mungkin ditangkap atau ditahan selepas PAU 2026 serta kemungkinan perkara itu berkait dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Ahmad Zahid berkata beliau belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenainya.
Artikel lain: Syahredzan gesa Ismail dedah hal sebenar -“Siapa yang paksa MB?”
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO tidak mempunyai halangan untuk memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat bukti kukuh untuk tindakan pendakwaan, namun siasatan perlu dilakukan terlebih dahulu secara adil dan telus.






