Dakwa Dipaksa Tandatangan Dokumen, Zahid Minta Penjelasan MB Negeri Sembilan 

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 4:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Dakwa Dipaksa Tandatangan Dokumen, Zahid Minta Penjelasan MB Negeri Sembilan 

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mendapatkan penjelasan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berhubung dakwaan beliau dipaksa menandatangani satu dokumen dikatakan mempunyai kaitan dengan usaha menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Zahid berkata, beliau bercadang untuk bertemu Ismail pada persidangan parti bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkara berkenaan.

“Saya akan mendapatkan penjelasan mengenai apa yang beliau katakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata tidak dapat mengesahkan sama ada Ismail menandatangani dokumen berkenaan dalam keadaan terpaksa.

Zahid turut menafikan dakwaan bahawa beliau berada di lokasi ketika dokumen itu didakwa ditandatangani, selain menggesa peguam yang menyediakan, menjadi saksi serta menyimpan dokumen berkenaan supaya tampil memberikan penjelasan secara terbuka mengenai keadaan sebenar.

“Perkara itu tidak diketahui oleh UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang turut dikaitkan dalam laporan awal mengenai perkara itu juga sudah menafikan sebarang penglibatan.

Kontroversi berkenaan tercetus pada 8 Ogos selepas bekas Undang Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad mengedarkan salinan satu dokumen yang didakwa ditandatangani oleh Ismail di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos.

Maarof mendakwa dokumen itu merupakan satu tindakan rasmi untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, selain mendakwa Undang Yang Empat telah melantik Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 pada April lalu.

Bagaimanapun, Ismail mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkenaan.

Menteri Besar itu sebelum ini turut menegaskan kembali kesetiaannya kepada Tuanku Muhriz pada 6 September, dengan menyatakan pentadbirannya kekal menjunjung taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar serta akan terus memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran negeri.

Maarof dan bekas Undang Rembau, Abdul Rahim Yasin, yang masing-masing masih mencabar keputusan pengguguran mereka sebagai pemimpin adat, turut menggesa kerajaan Negeri Sembilan supaya mengiktiraf serta melaksanakan kandungan dokumen berkenaan. - Getaran, 10 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved