
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau menghadiri mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menandatangani surat pengisytiharan bagi menurunkan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ahmad Zahid berkata, Ismail sendiri turut menafikan penglibatan beliau dalam mesyuarat berkenaan.
Katanya, dakwaan bahawa Ismail sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar juga tidak benar.
“Tidak ada, tidak ada surat peletakan jawatan Menteri Besar. Saya tidak berada dalam mesyuarat itu dan beliau (Ismail) juga sudah menafikannya.
“Memang saya tidak berada dalam mesyuarat berkenaan,” katanya ketika ditemui media selepas Perasmian Taklimat Presiden sempena Perhimpuna Agung UMNO (PAU) 2026, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Pembesar Memerintah Negeri Sembilan, Undang Yang Empat mendedahkan surat yang ditandatangani Ismail bagi mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz pada 3 Ogos lalu.
Pendedahan itu dibuat pada sidang akhbar semalam yang dihadiri Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.-UTUSAN
The post Zahid nafi terima surat peletakan jawatan MB N. Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.






