KMP buat laporan polis, MCMC isu imej petugas media diubah jadi haiwan

LocalOpinion
2 Oct 2026 • 3:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KMP buat laporan polis, MCMC isu imej petugas media diubah jadi haiwan
Presiden KMP, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan (dua dari kiri) bersama ahli persatuan selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada Jumaat.

PUTRAJAYA – Kelab Media Putrajaya (KMP) membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tindakan sebuah akaun media sosial yang didakwa mengubah imej petugas media kepada imej haiwan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, KMP memaklumkan tindakan itu membabitkan gambar sekumpulan jurugambar dan wartawan yang sedang menjalankan tugas membuat liputan kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke pusara Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, Putrajaya pada Khamis.

“KMP memandang serius dan mengecam tindakan sebuah akaun media sosial yang mengubah imej sekumpulan jurugambar dan wartawan ketika menjalankan tugas membuat liputan Tun Dr Mahathir menziarahi pusara Allahyarham di Pusara Negara menjadi imej haiwan.

“Lebih mengecewakan, imej tersebut disertakan dengan kapsyen ‘Akal waras semakin sukar ditemui’ yang dilihat sebagai penghinaan terhadap petugas media yang sedang melaksanakan tanggungjawab profesional mereka,” menurut kenyataan itu.

Menurut KMP, petugas media yang berada di lokasi berkenaan tidak menerima sebarang pemakluman rasmi berkaitan sekatan atau larangan membuat rakaman daripada pihak Tun Dr Mahathir atau keluarganya.

KMP turut menegaskan bahawa pengamal media sentiasa memahami dan mematuhi etika kewartawanan serta menghormati nilai kemanusiaan, privasi dan sensitiviti keluarga, khususnya dalam situasi yang melibatkan suasana dukacita.

“Keberadaan petugas media di lokasi adalah sebahagian daripada tanggungjawab profesional untuk mendokumentasikan peristiwa yang mempunyai nilai kepentingan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, KMP mengakui setiap individu berhak mengemukakan pandangan dan kritikan, namun kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina atau merendahkan martabat petugas media.

“KMP memahami hak setiap individu untuk mengkritik. Namun, kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merendahkan atau menghina petugas media.

“Sebarang teguran perlu dibuat berdasarkan fakta dan konteks sebenar.

“KMP akan terus mempertahankan maruah, keselamatan dan hak warga media untuk menjalankan tugas secara profesional tanpa berdepan penghinaan atau serangan peribadi,” menurut kenyataan itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved