Gamuda dapat kontrak lupus tanah, bangunkan pusat data bernilai RM1.46 bilion di Port Dickson

05/05/2025 - 14:29
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 5 Mei — Gamuda Berhad memeterai kontrak bagi melupuskan 157.42 hektar tanah pada harga RM455.23 juta dan menjalankan kerja pembinaan pusat data bernilai RM1.01 bilion untuk Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ia susulan pemeteraian kontrak melalui anak syarikat tidak langsungnya iaitu Gamuda DC Infrastructure Sdn Bhd (DCI) termasuk pelbagai kerja tanah dan infrastruktur luaran yang dijangka siap kesemuanya pada akhir 2028.
"Kerja infrastruktur luaran terdiri daripada loji rawatan air baharu dengan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 65 juta liter sehari dan saluran paip yang menghubungkan loji itu," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Gamuda menambah, kerja pembinaan saluran ke takungan perkhidmatan pembangunan pusat data dan simpanan luar sungai untuk memastikan hasil air mencukupi ketika musim rendah dan mengurangkan sebarang kegiatan pencemaran.
Katanya lagi, kerja tanah berkenaan, dijangka siap pada suku ketiga 2025, diikuti dengan loji rawatan air pada suku kedua 2027 dan fasiliti penyimpanan luar sungai suku keempat 2028.
Kontrak juga katanya, merangkumi rumusan sehenti untuk sektor pusat data yang berkembang pesat, dengan Gamuda menyampaikan pembangunan tanah, termasuk kerja awam, sambungan utiliti dan infrastruktur air serta pembinaan platform kepada pelanggan.
"Model sehenti ini memanfaatkan kepakaran kejuruteraan teras syarikat dan sistem pembinaan industri generasi akan datang, yang mempercepatkan penghantaran struktur dengan pembuatan ketepatan luar tapak," tambah Gamuda.
Pendekatan hujung ke hujung itu katanya, mengurangkan risiko pembangunan peringkat awal, memendekkan garis masa, menjamin kualiti dan kos, yang membezakan syarikat sebagai rakan kongsi infrastruktur strategik dalam ekonomi digital. - DagangNews.com
featured standard
