Gamuda menang kontrak RM3.57 bilion bina dua pusat data di Port Dickson

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 4:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gamuda menang kontrak RM3.57 bilion bina dua pusat data di Port Dickson Image from: Gamuda menang kontrak RM3.57 bilion bina dua pusat data di Port Dickson hamden28/08/2026 - 16:00 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Gamuda Bhd terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen pembinaan pusat data selepas memperoleh dua kontrak bernilai keseluruhan RM3.57 bilion untuk membina kemudahan pusat data hiperskala di Port Dickson, Negeri Sembilan.

 

Kontrak berkenaan telah dianugerahkan oleh sebuah syarikat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat kepada Gamuda Engineering Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh kumpulan, pada 28 Ogos 2026.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata, kedua-dua kontrak itu masing-masing bernilai RM1.79 bilion dan RM1.78 bilion.

 

Kedua-dua projek dijadualkan bermula pada suku keempat 2026, dengan pusat data pertama disasarkan siap pada suku ketiga 2028. Sementara itu, pusat data kedua dijangka siap pada suku keempat 2028.

 

Projek tersebut melibatkan pembinaan dua kemudahan pusat data hiperskala setingkat, merangkumi kerja-kerja infrastruktur tapak, pembinaan struktur utama dan bangunan, serta kerja-kerja pemasangan mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP).

 

Gamuda menjangkakan kedua-dua projek itu akan menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027 serta sehingga projek berkenaan disiapkan.

 

Perolehan kontrak terbaharu itu turut memperluaskan pendedahan Gamuda kepada segmen pembinaan pusat data, yang kini muncul sebagai antara pemacu utama pelaburan infrastruktur susulan perkembangan pesat pengkomputeran awan dan permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI).

 

Malaysia juga semakin menjadi destinasi pilihan bagi pelaburan pusat data hiperskala, disokong kedudukan strategik negara, kesalinghubungan yang baik serta ekosistem infrastruktur digital yang terus berkembang.

 

Perkembangan itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada syarikat pembinaan dan kejuruteraan tempatan, khususnya pemain yang mempunyai rekod prestasi dan kepakaran dalam melaksanakan projek infrastruktur berskala besar dan kompleks.

 

Gamuda bagaimanapun berkata, projek tersebut tertakluk kepada risiko pembinaan biasa termasuk turun naik harga bahan mentah.

 

Namun, kumpulan itu menjangkakan risiko berkenaan dapat dikurangkan menerusi pengalaman serta kepakarannya dalam melaksanakan projek-projek pembinaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved