Gangguan seksual : Polis sudah rakam keterangan dua pelakon, pengarah dan kru produksi drama

24 Nov 2026 • 4:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gangguan seksual : Polis sudah rakam keterangan dua pelakon, pengarah dan kru produksi drama

PETALING JAYA: Polis telah merakam keterangan dua pelakon bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual ketika sesi penggambaran sebuah drama.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seramai enam saksi telah dirakam percakapan termasuk pengadu, tunangnya yang juga bertindak sebagai pembantu peribadi (PA) serta suspek.

Selain itu, katanya, polis turut mengambil keterangan pengarah drama dan dua saksi yang terdiri daripada jurukamera.

“Polis akan merakam percakapan kira-kira 25 lagi saksi dalam kalangan kru penggambaran.

“Bagaimanapun, proses mengambil keterangan saksi-saksi berkenaan akan dilakukan secara berperingkat mengikut kesesuaian masa memandangkan mereka kini sedang bertugas dengan produksi lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Pada 21 November lalu, polis memaklumkan sudah membuka kertas siasatan susulan dakwaan seorang pelakon wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual pelakon lelaki ketika sesi penggambaran sebuah drama.

Ia susulan pelakon itu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar Ogos lalu selepas dia menerima tawaran berlakon drama terbabit bersama pelakon lelaki itu.

Kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Dalam pada masa sama, pelakon lelaki terbabit yang terpalit dengan dakwaan salah laku di set penggambaran, turut membuat laporan polis dengan disusuli tindakan undang-undang.

Menerusi hantaran dimuatnaik di Instagram (IG), pengurus pelakon lelaki berkenaan memaklumkan pihak pengurusan memandang serius isu terbabit dan dakwaan yang diperkatakan terhadap artis di bawah kendaliannya.

Pelakon terbabit menafikan sebarang salah laku di set penggambaran seperti didakwa kerana sentiasa mengamalkan sikap profesionalisme. – UTUSAN

 

The post Gangguan seksual : Polis sudah rakam keterangan dua pelakon, pengarah dan kru produksi drama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved