
Gara-Gara Video Ikat Rambut, Wanita Dikatakan Seiras Haaland Tak Sangka Jadi Tular
Selain aksi perlawanan antara negara, Piala Dunia 2026 juga menyaksikan tumpuan terarah kepada pemain-pemainnya.
Bagi pasukan Norway, 'mesin pencetak' golnya, Erling Haaland menjadi bualan ramai kerana sudah meledak tujuh gol dalam empat perlawanan.
Penyerang berusia 26 tahun itu turut membantu negaranya mara ke suku akhir dan bakal bertemu dengan England.
Selain pencapaiannya itu, Haaland juga menarik perhatian ramai kerana personalitinya di media sosial yang mencuit hati.
Malah, wajahnya juga dijadikan meme oleh warga maya di seluruh dunia.
Pelanduk dua serupa Haaland
Lebih menarik, seorang pempengaruh wanita turut terkena tempias sensasi pemain itu selepas wajah mereka dikatakan seiras.
Seperti pelanduk dua serupa, persamaan tersebut 'disahkan' lagi apabila wanita yang dikenali sebagai Emma Kate Willman itu mencuba gaya rambut seperti Haaland.
Sehingga kini, ruangan komen di video-videonya 'diserbu' oleh warga maya.
Bahkan, Haaland sendiri turut meninggalkan komen yang ringkas tetapi menarik perhatian ramai.
"Hi," kata Haaland.

Tak sangka jadi tular
Emma menerusi temu bual bersama People mengakui dia pada awalnya keliru tetapi turut terhibur dengan usikan dan gurauan orang ramai.
Dia yang kini mempunyai lebih 100,000 pengikut di Instagram juga bagaikan tidak percaya dengan perhatian yang diterimanya sejak demam Piala Dunia.
“Saya tidak pernah jangka tindakan mengikat rambut boleh membuatkan jutaan orang membandingkan saya dengan Erling Haaland.
"Seronok melihat internet begitu terhibur dengan perkara ini,dan apabila Erling sendiri meninggalkan komen pada video saya, semuanya rasa lebih tidak nyata.
"Sebagai seorang pencipta kandungan, kita tidak pernah tahu apa yang akan menarik perhatian orang ramai. Jadi saya hanya bersyukur kerana orang ramai menerimanya dan turut berseronok sepanjang perkara ini terjadi," katanya.
Baca juga:
Bukan Sorakan Biasa, Ini Makna & Sejarah Di Sebalik Viking Row Pasukan Norway
Piala Dunia 2026: Erling Haaland 'Cabar' Lionel Messi, Kylian Mbappe
Dalam pada itu, dia akan memberi sokongan kepada Haaland dari tempat duduk penonton pada hujung minggu ini ketika Norway bertemu England di Miami.
Jadi, ada kemungkinan dia benar-benar akan bertemu dengan 'kembar seirasnya' itu tidak lama lagi.






