liza02/10/2026 - 12:05 KUALA LUMPUR 2 Okt – Gas Malaysia Bhd menyasarkan keputusan pelaburan akhir (FID) bagi rancangan membangunkan terminal regasifikasi gas asli cecair (LNG) pertamanya pada separuh kedua tahun depan dan kemudahan itu dijangka mula beroperasi menjelang akhir 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia, Azli Mohamed berkata, terminal berkenaan yang pertama kali diumumkan pada Mac lalu dibangunkan secara bersama dengan Tokyo Gas dari Jepun dan sebuah kumpulan dari Belanda, dengan anggaran kos antara RM2 bilion hingga RM3 bilion.
Terminal itu dijadualkan dibina di daerah Yan, Kedah dan akan menjadi kemudahan import LNG pertama di Semenanjung Malaysia yang tidak dibina oleh syarikat tenaga milik Kerajaan, PETRONAS.
PETRONAS kini mengendalikan dua terminal regasifikasi di bahagian selatan Semenanjung Malaysia, manakala terminal ketiga sedang dibangunkan di Perak.
Di Sarawak pula, syarikat milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) baru-baru ini mengumumkan rancangan membina terminal import LNG bersama syarikat Norway, Höegh Evi.
Isi jurang pengagihan gas di utara
Azli berkata kemudahan Gas Malaysia itu bertujuan mengisi jurang dalam pengagihan gas di wilayah utara Malaysia, lapor Reuters.
Malaysia yang kini merupakan pengeksport LNG kelima terbesar dunia dijangka menyaksikan peningkatan permintaan gas untuk penjanaan tenaga, didorong pertumbuhan pusat data serta perkembangan ekonomi yang lebih meluas.
Peningkatan permintaan itu berlaku ketika Malaysia merancang untuk menghentikan penjanaan elektrik berasaskan arang batu secara berperingkat menjelang 2044.
Azli menolak kebimbangan mengenai kemungkinan lebihan kapasiti di rantau ini dengan merujuk kepada rancangan Malaysia untuk membangunkan 9 gigawatt kapasiti penjanaan elektrik baharu berasaskan gas menjelang 2032.
“Jika dibuat pengiraan, terdapat keperluan yang jelas dan kukuh untuk mengimport LNG melalui pelbagai terminal, dan saya fikir kami memenuhi keperluan tersebut,” katanya.
Kapasiti sehingga 6 juta tan LNG setahun
Projek Gas Malaysia itu dijangka mempunyai kapasiti sehingga enam juta tan LNG setahun.
Gas Malaysia yang merupakan satu-satunya pembekal gas asli berpaip di Semenanjung Malaysia ketika ini mendapatkan bekalan gas daripada PETRONAS.
Azli berkata, syarikat buat masa ini akan memberi tumpuan kepada import LNG bagi memperkukuh keselamatan tenaga di Semenanjung Malaysia, namun tidak menolak kemungkinan mengeksport gas melalui saluran paip ke negara jiran seperti Thailand pada masa depan.
Beliau turut berkata terdapat jangkaan pasaran gas akan menjadi lebih liberal selepas perjanjian yang mengawal aturan bekalan dan harga antara PETRONAS dengan sektor penjanaan tenaga tamat tempoh tahun depan.
Menurutnya, liberalisasi pasaran akan menjadi langkah penting bagi Malaysia untuk akhirnya menjadi pengimport bersih LNG, yang boleh berlaku dalam tempoh 10 hingga 15 tahun atau lebih awal.
Terminal beri pilihan sumber bekalan
Sebagai kemudahan import LNG pertama negara yang menggunakan mekanisme pasaran, terminal itu akan membolehkan Gas Malaysia mendapatkan bekalan daripada pembekal lain, selain sumber gas daripada PETRONAS yang digunakan ketika ini.
Malaysia mengimport sebanyak 2.42 juta tan metrik LNG dan mengeksport 27.03 juta tan metrik LNG pada 2025, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia.
Sementara itu, dasar harga bagi sektor penjanaan tenaga selepas 2028 dijangka menjadi faktor penting kepada Gas Malaysia.
Malaysia ketika ini memberi subsidi kepada harga gas yang dijual kepada sektor penjanaan tenaga, manakala sektor industri lain membayar harga pasaran.
“Dasar yang akan dilaksanakan selepas ini akan memberi kesan terhadap keupayaan kami untuk kekal berdaya saing di sepanjang rantaian nilai,” kata Azli. - DagangNews.com





