amree09/10/2026 - 11:51 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt – MTAG Group Berhad merancang untuk memperluaskan perniagaan percetakan dan pelabelannya menerusi cadangan pengambilalihan dua syarikat di Pulau Pinang pada harga indikatif secara tunai yang berjumlah RM13.8 juta.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut sudah menandatangani surat hasrat (LOI) dengan Khor Chun Chuan untuk memperoleh kesemua 100% kepentingan ekuiti dalam LH Label (M) Sdn Bhd (LHLM) dan LH Labelprint Sdn Bhd (LHLP).
Harga indikatif berkenaan ujarnya, akan dibiayai sepenuhnya dengan menggunakan dana yang dijana secara dalaman, namun harga pembelian muktamad masih lagi tertakluk kepada rundingan lanjut dan pelarasan antara pihak terlibat.
"Cadangan pengambilalihan tersebut selaras dengan strategi untuk mengembangkan operasi dalam industri label dan percetakan, selain memperluaskan rangkaian produk, asas pelanggan serta peluang sinergi operasi dan komersial," jelas MTAG.
LHLM yang diperbadankan pada 1992 manakala LHLP pada 1995 terlibat dalam aktiviti percetakan serta pembuatan label, alat tulis dan produk pembungkusan. Chun Chuan merupakan pemegang saham tunggal dan pengarah kedua-dua syarikat berkenaan.
Menurut kumpulan tersebut, pengambilalihan itu juga berpotensi memberikan akses kepada operasi, hubungan pelanggan, sumber dan pengalaman industri kedua-dua syarikat sasaran, sekali gus menyokong pengembangan perniagaan sedia ada.

Ujar MTAG, harga indikatif berkenaan ditentukan berdasarkan rundingan antara pembeli yang bersedia dan penjual yang bersedia, dengan mengambil kira maklumat kewangan, operasi perniagaan serta pangkalan pelanggan syarikat sasaran.
"Bagaimanapun, cadangan ini masih tertakluk kepada usaha wajar dari sudut undang-undang, kewangan, cukai dan operasi yang memuaskan, penilaian bebas terhadap hartanah milik syarikat sasaran serta kelulusan lembaga pengarah," katanya.
Setakat 30 Jun 2026, kumpulan berkenaan mempunyai tunai dan kesetaraan tunai mencecah sebanyak RM8.02 juta tanpa ada sebarang pinjaman. Nilai pembelian indikatif itu lebih tinggi RM5.78 juta daripada baki tunai yang dilaporkan.
Pihak pengurusan MTAG namun menyatakan pembiayaan untuk rancangan pengambilalihan tersebut hanya akan menggunakan sumber dana dalaman tanpa memperincikan sumber tambahan yang mungkin diperlukan.
Dari segi kesan kewangan pula jelasnya, ia menjangkakan cadangan itu tidak memberi kesan material terhadap aset bersih sesaham, penggearan, keuntungan atau pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.
Saham MTAG ditutup tidak berubah pada 20 sen sesaham pada 8 Oktober 2026, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM133.21 juta. Saham syarikat itu susut 20% sejak awal tahun hingga tarikh berkenaan. - DagangNews.com






