Cyberjaya Education labur RM15 juta beli tanah di Sepang perluaskan kampus University of Cyberjaya

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cyberjaya Education labur RM15 juta beli tanah di Sepang perluaskan kampus University of Cyberjaya Image from: Cyberjaya Education labur RM15 juta beli tanah di Sepang perluaskan kampus University of Cyberjaya amree09/10/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt — Cyberjaya Education Group Berhad merancang membeli tanah komersial pegangan bebas di Sepang bernilai RM15 juta bagi menyokong pengembangan kampus University of Cyberjaya dan pembangunan fasiliti pelajar yang semakin berkembang.

 

Cadangan pemerolehan itu dibuat ketika kumpulan mempunyai tunai dan kesetaraan tunai sebanyak RM6.97 juta, berbanding jumlah pinjaman RM155.74 juta setakat 30 Jun 2026, berdasarkan maklumat yang didedahkan dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia.

 

Menerusi cadangan tersebut, anak syarikat milik penuhnya, Ilmu Living Sdn Bhd, akan membeli tanah kosong berstatus komersial seluas 24,777 meter persegi daripada Maju PuncakBumi Sdn Bhd, sebuah syarikat yang sedang dalam proses pembubaran.

 

"Rancangan ini selaras dengan strategi jangka panjang kumpulan menyokong pertumbuhan berterusan University of Cyberjaya, selain melabur secara berperingkat dalam infrastruktur dan kemudahan bagi memenuhi keperluan pelajar," jelas Cyberjaya Education.

 

Tanah berkenaan ujar kumpulan itu, terletak berhampiran kampus universiti tersebut, sekali gus memberikan potensi yang lebih luas untuk menyokong pembangunan kemudahan tambahan bagi memenuhi keperluan institusi pendidikan itu pada masa hadapan.

 

Bagaimanapun, kumpulan memaklumkan konsep pembangunan, skala projek dan tempoh pelaksanaannya masih belum dimuktamadkan kerana tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan lanjut, perancangan, penilaian keperluan serta kelulusan kawal selia yang berkaitan.

 

Cyberjaya Education_DagangNews2026

 

Cadangan pembelian itu akan dilaksanakan pada harga RM15 juta secara tunai, dengan penyempurnaan urus niaga dijangka pada suku ketiga 2027, tertakluk kepada pemenuhan atau pengecualian syarat-syarat terdahulu yang ditetapkan dalam perjanjian.

 

Dari segi kewangan pula secara am, kedudukan tunai kumpulan ini yang berjumlah RM6.97 juta pada akhir Jun 2026 didapati adalah lebih rendah berbanding nilai pembelian tanah tersebut, manakala jumlah pinjaman dijangka mencecah kira-kira RM155.74 juta. 

 

Bagaimanapun, kaedah pembiayaan terperinci bagi urus niaga itu tidak dinyatakan dalam maklumat yang diberikan. Pengambilalihan tersebut berpotensi memperkukuh asas aset kumpulan dan menyediakan ruang untuk perancangan pembangunan jangka panjang.

 

"Manfaat operasi sebenar daripada pengambilalihan tanah tersebut namun setakat ini masih lagi bergantung pada hasil kajian, kelulusan pihak berkaitan serta pelaksanaan pembangunannya yang akan ditentukan kemudian," tambah kumpulan berkenaan.

 

Dalam perkembangan pasaran, saham Cyberjaya Education ditutup tidak berubah kepada RM1.49 sesaham pada 8 Oktober 2026, sekali gus memberikan permodalan pasaran sebanyak RM259.8 juta.

 

Sejak awal tahun ini hingga 8 Oktober 2026, saham syarikat itu meningkat 63.7%, mencerminkan kenaikan ketara dalam prestasi pasarannya sepanjang tempoh berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved