GDB Holdings berpotensi catat untung dua kali ganda kepada RM86.9 juta tahun ini - Apex Securities

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2025 • 2:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GDB Holdings berpotensi catat untung dua kali ganda kepada RM86.9 juta tahun ini - Apex Securities

image is not available

12/08/2025 - 14:40

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - GDB Holdings Berhad berpotensi mencatatkan keuntungan dua kali ganda ekapda RM86.9 juta pada tahun ini apabila tiga projek utamanya memasuki fasa kemuncak penjanaan hasil, kata Apex Securities.

Firma penyelidikan itu berkata, tahun ini merupakan 'tahun lonjakan' kepada kumpulan itu.

Saham GDB Holdings telah melonjak daripada paras terendah pada April semasa kegawatan pasaran global, dan kini mencatat kenaikan kira-kira 8% setakat tahun ini.

"Aktiviti pembinaan terus berkembang di Malaysia, yang sedang meraih manfaat daripada lonjakan dalam projek hartanah industri dan infrastruktur.

"GDB memberi tumpuan kepada pembangunan kediaman bertingkat tinggi, komersial dan pembangunan bercampur, sebagai kontraktor utama.

"Syarikat ini juga sedang membina kedudukan kukuh dalam pembinaan gudang, dengan dua daripada tiga projek semasa terlibat dalam segmen tersebut," katanya dalam satu nota kajian.

Apex Securities berkata, pendapatan dijangka mencecah rekod baharu hampir RM800 juta tahun ini hasil kerja ke atas projek Metrohub 4 di Klang, Logistics Hub Plot B di Shah Alam, dan KL International Hospital di Bukit Jalil, daripada jumlah nilai projek dalam tangan sebanyak RM1.2 bilion.

Bagaimanapun, keuntungan dijangka menyederhana kepada RM67.3 juta tahun depan, apabila projek-projek semasa disiapkan dan nilai kemenangan kontrak baharu menurun kepada RM705 juta pada 2025, berbanding RM902 juta pada 2024, tambah firma itu.

Namun begitu, syarikat kini sedang membida projek bernilai sehingga RM5 bilion, dan “dalam jangka masa panjang, rancangan untuk meluaskan perkhidmatan pembinaan ke sektor infrastruktur dijangka dapat meningkatkan keterlihatan hasil,” kata Apex Securities.

Dari segi penilaian, saham itu kini diniagakan pada hanya empat kali anggaran pendapatan 2025, yang menurut firma tersebut menawarkan potensi kenaikan menarik dalam tempoh dua tahun akan datang.

Firma penyelidikan itu memulakan liputan ke atas kumpulan itu dengan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 58 sen sesaham.- DagangNews.com

standard