Gegar juga tangan, selamat jadi suami Bella Astillah – Syed Saddiq

10 Oct 2026 • 12:05 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Gegar juga tangan, selamat jadi suami Bella Astillah – Syed Saddiq

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dan isteri tercinta, Bella Astillah bersyukur majlis pernikahan yang dirancang sejak beberapa bulan lalu akhirnya selamat berlangsung di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.

Syed Saddiq, 34, tidak menafikan dirinya diselubungi rasa gementar sebelum dinikahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini.

“Sebelum ini bersidang di Parlimen tetapi hari ini gementar juga, gegar juga tangan tetapi kini sudah selamat menjadi suami Bella Astillah,” katanya.

Dalam masa sama, pemilik nama penuh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu menghargai doa yang dititipkan semua pihak.

“Terima kasih yang mendoakan perjalanan kami walaupun adakalanya terdapat rintangan.

“Semua ini adalah berkat doa yang menyatukan kami bersama, daripada pasangan kerja ke pasangan hidup,” katanya lagi.

Sementara itu, Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, berterima kasih di atas semua sokongan pelbagai pihak dan peminat selama ini kepadanya dan Syed Saddiq.

“Saya sangat berbesar hati dan syukur semuanya sudah selesai. Terima kasih yang beri sokongan, sangat hargai semuanya hari ini,” ujarnya.

Hari ini, pasangan yang diberikan julukan BASS itu selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz kira-kira pukul 10.40 pagi.

Dalam majlis tersebut, Syed Saddiq menyerahkan tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh Bella.

Antara yang diberi Syed Saddiq ialah emas berbentuk Gunung Kinabalu, pakej umrah, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM100,000 dan sebuah basikal.

Majlis bertemakan Arab dan warna putih itu dihadiri kira-kira 300 tetamu termasuk ahli keluarga serta teman rapat pasangan itu.

Beberapa tetamu ternama juga turut hadir iaitu Khairy Jamaluddin, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Nancy Shukri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Ismail Sabri.

Pasangan sama cantik sama padan itu mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Pemilik nama lengkap Dayang Nabellah Awang Astillah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan penyanyi Aliff Aziz pada September 2016.

Pasangan itu pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dan akhirnya berpisah kali kedua pada Mac 2024.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6. – KOSMO! ONLINE

The post Gegar juga tangan, selamat jadi suami Bella Astillah – Syed Saddiq appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved