
NEW DELHI: Seorang wanita warga Malaysia ditahan pihak berkuasa India selepas dipercayai cuba menyeludup 15 kilogram ganja bernilai kira-kira 52.5 juta rupee (RM2.2 juta) di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di sini, pada 4 September lalu.
Jabatan Kastam Delhi (Lapangan Terbang dan Tugas Am) dalam kenyataan menerusi X memaklumkan, penumpang berkenaan yang tiba dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan OD-205, telah ditahan di Terminal 3 selepas dikenal pasti menerusi pemeriksaan berdasarkan profil penumpang.
“Penumpang berkenaan diarahkan dari Laluan Hijau untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan terhadap beg troli miliknya menemukan 30 bungkusan plastik yang mengandungi bahan disyaki ganja seberat 15,015.5 gram (berat bersih),” menurut kenyataan itu.
Suspek kemudian ditahan mengikut Seksyen 43(B) Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) India 1985, manakala dadah berkenaan dirampas mengikut Seksyen 43(A) akta sama.
Kes turut didaftarkan terhadap wanita Malaysia itu mengikut Seksyen 8, 20, 23 dan 29 Akta NDPS, yang meliputi kesalahan berkaitan pemilikan, pengangkutan, pengimportan dan konspirasi melibatkan bahan narkotik. – UTUSAN
The post Wanita Malaysia ditahan cuba seludup 15kg dadah di Delhi appeared first on Utusan Malaysia.






