
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syamel mengakui pengiktirafan diterima ibu saudaranya, Datuk Ziana Zain baru-baru ini menjadi sumber inspirasi buat dirinya dan isteri, penyanyi Ernie Zakri untuk terus bekerja keras dalam industri seni.
Menurut Syamel, perjalanan seni serta etika kerja yang ditunjukkan Ziana termasuk penyanyi Anuar Zain, memberi banyak pengajaran kepadanya sepanjang bergelar anak seni.
Malah, Syamel yang sebelum ini bermula sebagai peminat kepada keluarga penyanyi itu, bersyukur kerana perkahwinannya dengan Ernie membuka ruang untuk dirinya mengenali dengan lebih dekat perjalanan serta perjuangan dua figura hebat berkenaan.
“Saya bermula daripada hanya seorang peminat dan sekarang ini, Alhamdulillah, hasil perkahwinan bersama Ernie, terjadilah juga sedikit hubungan kekeluargaan itu. Sepanjang perjalanan saya ini pun, kita rapat dengan Mak Ngah, iaitu Datuk Ziana Zain dan Pak Ngah yang banyak sangat mengajar kita.
“Kita banyak tengok dan saya rasa sangat beruntung kerana dapat belajar daripada mereka. Kita tengok kesusahan mereka, perjuangan mereka untuk menjadi diri mereka yang sekarang ini. Kita banyak ambil dan ‘curi’ ilmu daripada mereka.
“Apa yang Datuk Ziana dapat itu pada saya memang sangat sesuai dan layaklah. Dengan kerja keras dia, dengan cara dia bekerja dan cara dia menempatkan nama seorang Ziana Zain itu, bagi saya memang sangat-sangat selayaknya untuk dia mendapat pengiktirafan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Hidup Dalam Mati itu berkata, dia bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri profesionalisme yang ditampilkan Ziana dan Anuar sepanjang mereka bergiat dalam industri seni.
Katanya, kedua-dua penyanyi itu bukan sahaja memiliki disiplin tinggi, malah tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan pengalaman dengan generasi lebih muda.
“Kita sebagai anak buah dan juga rakan industri sangat-sangat rasa beruntung sebab dapat tengok dan belajar secara dekat cara mereka bekerja. Anuar Zain begini, Ziana Zain begitu, cara mereka sangat-sangat profesional, tetapi pada masa yang sama tidak pernah kedekut ilmu untuk berkongsi segalanya.
“Mereka selalu pesan walau apa sahaja yang berlaku, hati kena baik. Sebab benda itu yang akan menampakkan segala-galanya. Sampai di kamera pun boleh nampak kalau kita itu baik hati. Sebab keikhlasan kita untuk menyanyikan sebuah lagu, kita sebenarnya mahu berhubung dengan orang. Jadi, untuk berhubung dengan orang adalah daripada jiwa. Jadi hati itu, insya-Allah, kena baik, tidak ada hasad dengki, kena sentiasa lapang dada dan kena bersangka baik.
“Apabila dia mendapat gelaran tersebut, saya rasa, ‘Oh, kaedah yang dia gunakan itu berkesan’,” ujarnya.
Mengulas sama ada kejayaan yang diraih Ziana menjadi inspirasi buat dirinya dan Ernie, Syamel tidak menafikan perkara tersebut. Namun katanya, bukan gelaran yang menjadi keutamaan mereka, sebaliknya usaha dan kerja keras yang dilalui penyanyi Madah Berhelah itu sehingga berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai antara nama besar industri hiburan tanah air.
“Sangat inspirasi. Sebab pada saya apa sahaja gelaran yang dia dapat itu memang penting, tetapi bukan itu keutamaannya. Keutamaannya adalah bagaimana cara dia berusaha dan bekerja keras untuk mendapatkan apa yang dia dapat sekarang ini, untuk sampai ke tahap ini. Itu sangat-sangat memberi inspirasi buat kami.
“Dan saya percaya semua artis-artis muda di luar sana tahu, ‘Oh, aku pun ada misi dan visi’. Bukan nak cakap misi aku adalah untuk dapat gelaran Datuk, tetapi untuk sampai ke satu tahap bekerja keras seperti itu.
“Sebab gelaran pada saya tidak adalah penting sangat, walaupun ya, memang selayaknya gelaran Datuk Wira buat Ziana Zain. Tetapi kalau kita tengok Anuar Zain sekalipun, tanpa gelaran Datuk pun kita dah boleh tengok bagaimana cara beliau membawa diri, bagaimana beliau bekerja dan tahap dia sekarang ini.
“Jadi bagi saya, itu yang sangat-sangat memberi inspirasi. Bukan semata-mata tentang apa yang kita dapat di penghujung perjalanan, tetapi bagaimana kita bekerja, bertahan dan terus berusaha untuk sampai ke tahap tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Syamel turut teruja untuk kembali beraksi bersama dalam Konsert Empat yang dijadualkan berlangsung pada 26 September di Singapura.
Menurutnya, kehadiran Ziana dalam persembahan itu diyakini akan menambah aura kepada konsert berkenaan selepas penganjuran pertama menerima sambutan positif di Kuala Lumpur.
The post Gelaran Datuk layak buat dia, saya banyak ‘curi’ ilmu dari Ziana, Anuar Zain – Syamel appeared first on Utusan Malaysia.






