
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39), Ernie Zakri, memilih untuk bangkit dan melupakan kisah duka selepas menjadi mangsa pengkhianatan sebagaimana mesej tersirat yang disampaikan menerusi lagu terbaharunya, Sejambak Bunga.
Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, berkata, dia enggan membuang masa untuk membalas semula perbuatan khianat orang terdekat itu, sebaliknya menganggap kehadiran individu sebegitu sebagai satu proses untuk belajar mengenai erti sebuah pengkhianatan yang mendewasakan.
“Saya sentiasa percaya orang yang datang dalam kehidupan ini adalah untuk mengajar saya sesuatu. Sebab itu saya rasa buang masa kalau mahu balas dendam kerana saya percaya jika mahu ‘membunuh’ seseorang, ‘bunuhlah’ mereka dengan kebaikan.
“Saya memilih untuk melangkah ke era baharu dengan aura yang lebih positif. Pada saya ini juga rezeki daripada Allah kerana mendatangkan orang sebegini untuk saya belajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ernie berkongsi perkara demikian ketika ditemui semasa promosi lagu terbarunya, Sejambak Bunga, di MRT Bukit Bintang, pada Jumaat.
Isteri kepada penyanyi Syamel itu berkata, dia memilih untuk tidak mengenang pengkhianatan tersebut demi memelihara ketenangan emosi dan jiwanya.
“Prinsip ini yang saya pegang supaya hati kita tenang, tidak fikir yang adakalanya tidak tidur malam disebabkan benda itu. Saya sudah melalui fasa itu dan sakit sebenarnya.
“Tapi Alhamdulillah, Allah mengajar saya menerusi orang-orang ini untuk terus kuat dan menjadi diri sendiri. Jangan pernah meminta maaf kerana menjadi diri sendiri dan itu yang saya pegang sampai sekarang,” katanya.
Sekadar rekod, Lagu Sejambak Bunga menceritakan pengalaman Ernie Zakri dikhianati dan disakiti.
Mesej utama karya berkenaan adalah mengajak pendengar untuk terus melangkah ke hadapan tanpa menyimpan sekelumit dendam sekalipun.- UTUSAN
The post Sakit dikhianati biar berlalu, Ernie Zakri lupakan kisah itu appeared first on Utusan Malaysia.






