
SEREMBAN – Gelombang biru menguasai Negeri Sembilan apabila gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh 25 kerusi sekali gus mampu membentuk majoriti dua per tiga kerusi bagi membentuk kerajaan Negeri Sembilan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat keputusan tidak rasmi diterima pada 9.30 malam tadi, BN memperoleh 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memenangi tujuh kerusi.
Menurut beliau, keputusan itu sekali gus membolehkan kedua-dua gabungan berkenaan menguasai 25 daripada 36 kerusi DUN, melepasi majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil.
“Alhamdulillah, kami memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas keputusan dan mandat yang diberikan rakyat Negeri Sembilan kepada BN dan PN.
“Bagi pihak seluruh kepimpinan BN dan PN, saya merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab sehingga memberikan kemenangan kepada gabungan ini untuk menerajui semula pentadbiran Negeri Sembilan,” katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau akan mendapat perkenan daripada Yang diPertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Undang Yang Empat secepat mungkin.
“Kami akan mengadakan perbincangan susulan (kemenangan) kedua-dua parti gabungan ini dengan mengutamakan pembentukan kerajaan negeri yang baharu atas perkenan Yang diPertuan Besar dan Undang Yang Empat,” katanya.
Beliau berkata, persefahaman yang terjalin antara BN dan PN sepanjang PRN akan diterjemahkan melalui pembentukan sebuah kerajaan negeri yang stabil serta berpaksikan mandat rakyat.
Katanya, kemenangan tersebut juga diharap menjadi pemangkin kepada kesinambungan sokongan rakyat terhadap kerjasama BN dan PN seperti yang berlaku di Johor dan akan diteruskan pada pilihan raya negeri Melaka.
Tambah beliau, sokongan rakyat daripada pelbagai kaum dan latar belakang membuktikan rakyat menginginkan sebuah kerajaan yang stabil serta mampu membawa perpaduan dan kemajuan kepada negeri. – KOSMO! ONLINE
The post Gelombang biru, BN-PN diteruskan ke PRN Melaka appeared first on Kosmo Digital.





![[TIDAK RASMI] 'Saya tak menyesal, mungkin report card saya masih kurang' - Aminuddin](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/08/01/3602619.webp)