Penduduk mahu tahu kesan gempa bumi terhadap Empangan Temenggor

LocalEnvironment
28 Aug 2026 • 3:12 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penduduk mahu tahu kesan gempa bumi terhadap Empangan Temenggor

GERIK – Kejadian gempa bumi di Temenggor, di sini tengah malam tadi menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat terhadap kesannya dan kemungkinan gegaran susulan.

Bahkan kerisauan itu bertambah kerana percaya titik gegaran itu mungkin hampir dengan Empangan hidroelektrik Temenggor dalam kawasan Tasik Banding.

Bagi kebanyakan penduduk, kejadian tersebut adalah yang pertama seumpamanya berlaku sepanjang kehidupan mereka di daerah Hulu Perak itu.

Menurut seorang penduduk, Arif Azmi yang berusia 35 tahun, dia pada mulanya berasa pelik apabila cermin tingkap di rumahnya bergegar dan menyangka hanya tiupan angin.

“Selepas beberapa jam, baru saya tahu berlaku gempa bumi kecil. Mungkin tidak begitu kuat untuk menyebabkan kerosakan teruk. Namun ini kali pertama berlaku di sini.

“Yang paling merisaukan jika titik gegaran itu dekat dengan Empangan Temenggor,” katanya.

Jabatan Meteorologi memaklumkan gempa bumi bermagnitud 3.4 melanda kawasan Temenggor pada pukul 12.06 tengah malam tadi pada kedalaman 10 kilometer.

Gegaran dilaporkan dapat dirasai di beberapa kawasan sekitar Gerik, namun tiada laporan segera mengenai sebarang kerosakan atau kecederaan ekoran kejadian tersebut.

Seorang Tok Batin di perkampungan masyarakat Orang Asli Pos Kemar turut melahirkan rasa risau akan kesan gempa bumi seperti itu terhadap Empangan Temenggor serta Tasik Banding.

Jelasnya, penduduk kampung sentiasa berulang alik dari Pos Kemar ke kawasan Gerik menggunakan bot melintasi tasik Banding yang mengambil masa selama satu jam lebih sehala.

Sementara itu, Mohd. Fadzil Bin Abdul Aziz, 49, mengharapkan para penduduk setempat mendapat maklumat yang benar dan tepat kesan kejadian tersebut.

“Sebagai penduduk, kami tidak mahu panik. Tetapi kami juga tidak mahu persoalan keselamatan dijawab dengan ringan.

“Ketelusan maklumat penting kerana bukan sahaja memberi ketenangan kepada masyarakat, malah mengelakkan penyebaran khabar angin dan spekulasi dalam media sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Penduduk mahu tahu kesan gempa bumi terhadap Empangan Temenggor appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved