Penduduk tidak perlu bimbang gempa lemah di Gerik - Exco

LocalEnvironment
28 Aug 2026 • 12:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penduduk tidak perlu bimbang gempa lemah di Gerik - Exco
Kok Lim berkata risiko gempa bumi berlaku di Perak adalah berasaskan kewujudan struktur sesar di kawasan tertentu, namun kebarangkaliannya adalah rendah.

IPOH - Penduduk di sekitar Gerik tidak perlu bimbang susulan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 yang direkodkan di kawasan Temengor, Gerik, tengah malam tadi.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, untuk rekod gempa bumi di kawasan Temengor pernah berlaku pada 2013 dan 2016 manakala bagi kawasan Manjung, gempa bumi bermagnitud 2.5 direkodkan pada 2009 pada kedalaman 22.5 kilometer.

Menurutnya, susulan kejadian itu Projek Sesar Aktif dilaksanakan pada 2016 oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk mendapatkan maklumat sesar yang berpotensi mengakibatkan gegaran serta aktiviti gempa bumi berdasarkan maklumat imej satelit, landsat dan kajian lapangan.

"Secara umumnya, risiko gempa bumi berlaku di Perak adalah berasaskan kewujudan struktur sesar di kawasan tertentu. Bagaimanapun, kebarangkaliannya adalah rendah dan jika berlaku ia berada dalam skala rendah hingga sederhana.

"Gempa bumi di bawah magnitud 5 Mw (Magnitud Momen) biasanya dikategorikan sebagai sederhana hingga rendah yang lazimnya hanya menyebabkan gegaran dirasai orang ramai dan pergerakan kenderaan untuk tempoh singkat serta bunyi kuat, tanpa menyebabkan kerosakan ketara," katanya.

Kok Lim berkata, kajian Sesar Aktif dilakukan yang dilaksanakan bagi mengenal pasti struktur sesar berpotensi menyebabkan gegaran dan aktiviti gempa bumi mendapati kawasan Temengor mempunyai sesar berpotensi aktif yang dikenali sebagai Sesar Banding.

"Setiap segmen Sesar Banding mempunyai kepanjangan antara 2.9 hingga 6.6 kilometer dengan magnitud gempa bumi yang berpotensi dihasilkan antara 3.0 hingga 4.1 Mw.

"Gempa bumi yang berpotensi berlaku juga dikategorikan sebagai cetek dengan magnitud maksimum 4.1 Mw pada kedalaman 1.6 kilometer, manakala magnitud minimum 3.0 Mw pada kedalaman 15.3 kilometer," katanya.

Kok Lim berkata, hasil kajian turut merekodkan satu lagi sumber titik di kawasan Temengor berhampiran Empangan Bersia yang mempunyai magnitud 2.8 Mw pada kedalaman 10 kilometer.

Terdahulu, media melaporkan gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 direkodkan di kawasan Temenggor, Gerik pada jam 12.06 tengah malam Jumaat.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi berkenaan berlaku pada kedalaman 10 kilometer.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved