
IPOH: Penduduk di sekitar Gerik dinasihatkan supaya tidak bimbang susulan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 yang dikesan berlaku di kawasan Temenggor, Gerik, tengah malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, kejadian seumpama itu pernah direkodkan di Temengor pada 2013 dan 2016 manakala di Manjung pada 2009.
Katanya, susulan kejadian itu, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menjalankan Projek Sesar Aktif bagi mendapatkan maklumat berkaitan struktur sesar yang berpotensi mengakibatkan gegaran dan aktiviti gempa bumi
“Projek itu dijalankan berdasarkan maklumat imej satelit, landsat dan kajian lapangan bagi mengenal pasti struktur sesar aktif di negeri ini.
“Secara umumnya, risiko berlakunya gempa bumi di Perak adalah rendah meskipun terdapat struktur sesar di beberapa kawasan.
“Sekiranya berlaku gempa bumi sekalipun, magnitudnya dijangka berada pada skala rendah hingga sederhana,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, fasa pertama Projek Sesar Aktif dilaksanakan pada 2016 dengan pengumpulan maklumat spatial bagi mengenal pasti sesar yang berpotensi aktif di kawasan Temenggor dan Manjung.
Jelasnya, kewujudan sesar ditentukan menerusi penafsiran imej satelit, radar dan peta kontur, selain mengambil kira data titik episentrum gempa bumi yang dibekalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Katanya, sesar yang berpotensi aktif kemudiannya dikelaskan kepada tiga kategori iaitu sumber titik, sumber garisan dan sumber kawasan.
“Berdasarkan hasil kajian, sesar yang berpotensi aktif di kawasan Temenggor terbahagi kepada sumber garisan dan sumber titik.
“Sumber garisan di kawasan Temengor pada asasnya ditetapkan sebagai Sesar Banding yang dibahagikan kepada sembilan segmen, dengan segmen dua hingga tujuh berada dalam kawasan kajian,” katanya.
Tambah beliau, setiap segmen mempunyai panjang antara 2.9 hingga 6.6 kilometer dan berpotensi menghasilkan gempa bumi bermagnitud antara 3.0 hingga 4.1 pada skala magnitud momen (Mw).
Katanya, gempa bumi yang berlaku di kawasan tersebut adalah cetek dengan magnitud maksimum 4.1 Mw pada kedalaman 1.6 kilometer manakala magnitud minimum 3.0 Mw direkodkan pada kedalaman 15.3 kilometer.
“Bagi sumber titik di Temenggor pula, ia berada berhampiran Empangan Bersia dengan gempa bumi berpotensi bermagnitud 2.8 Mw pada kedalaman 10 kilometer,” katanya. –UTUSAN
The post Gempa Temengor: Penduduk Gerik dinasihat tidak panik appeared first on Utusan Malaysia.






