Generasi baharu peneroka Felda Palong 7 gesa SPRM siasat projek tanam semula sawit bernilai RM80 juta

LocalPolitics
24 Aug 2026 • 1:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Generasi baharu peneroka Felda Palong 7 gesa SPRM siasat projek tanam semula sawit bernilai RM80 juta

PUTRAJAYA: Sekumpulan generasi baharu peneroka Felda Palong 7 menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap pelaksanaan program pembangunan dan tanam semula sawit yang dianggarkan bernilai antara RM70 juta hingga RM80 juta.

Wakilnya, Mohd Syahrizal Md Yusuf menyerahkan maklumat rasmi kepada SPRM berhubung persoalan berkaitan pembekalan anak benih sawit, kos pembekalan, caj pengangkutan serta pelaksanaan kerja-kerja program tanam semula di rancangan berkenaan.

Menurutnya, program berkenaan membabitkan pertukaran tanaman getah kepada sawit melibatan 450 peneroka dan mempunyai kepentingan besar terhadap sumber pendapatan mereka untuk tempoh panjang.

“Aduan ini sudah saya buat kepada pihak ibu pejabat Felda, Felda Wilayah dan rancangan kira-kira lima hingga enam bulan lalu.
“Ia melibatkan spesifikasi kerja, pemilihan anak benih mengikut spesifikasi, ukuran dan banyak perkara yang melibatkan 450 orang peneroka kerana kesannya adalah untuk 25 tahun akan datang,” katanya selepas hadir ke Ibu Pejabat SRPM, di sini hari ini.

Syahrizal berkata, peneroka bimbang perkara sama seperti pengalaman pembangunan tanaman kira-kira 17 tahun lalu berulang sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Menurutnya, tanaman getah sebelum ini didakwa gagal dan antara perkara yang dibangkitkan ialah pembekalan anak benih yang didakwa tidak berkualiti serta tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Tanaman pertama sebelum ini adalah tanaman getah dan gagal. Kami tidak mahu perkara yang sama berulang.
“Untuk pembangunan kali kedua ini, kami bangkit dan bersuara untuk membela hak peneroka supaya masa depan lebih terjamin dan stabil,” jelasnya.

Beliau berkata, SPRM dituntut untu menyemak keadaan anak benih sawit yang didakwa kecil dan tidak seragam selepas beberapa siri penghantaran.

Katanya, terdapat juga anak benih yang masih belum pecah daun atau belum mencapai tahap perkembangan yang membolehkan pemeriksaan dibuat dengan sempurna.

“Persoalannya sama ada anak benih yang dibekalkan benar-benar memenuhi semua syarat dan spesifikasi yang ditetapkan.
“Kami juga mahu tempoh dan kaedah penjagaan anak benih di tapak transit sebelum proses penanaman diperiksa,” katanya.

Selain itu, aduan berkenaan turut membangkitkan persoalan mengenai kuantiti anak benih yang dihantar pada satu-satu masa serta kaedah pengendalian, penyimpanan dan penjagaannya sebelum ditanam.

Ujar Mohd Syahrizal, pemeriksaan turut diminta terhadap jarak tanaman yang didakwa tidak seragam dan agak rapat di sesetengah kawasan, selain kerja pembinaan teres di kawasan berbukit yang didakwa tidak seragam serta wajar diperiksa dari segi pematuhan spesifikasi teknikal.

“Selain itu, kami mahu harga pembekalan anak benih dan caj pengangkutan yang dikenakan dibandingkan dengan tawaran atau kos yang diterima peneroka di rancangan Felda lain, termasuk Felda Teloi Timur,” katanya.

Menurut Syahrizal, SPRM turut diminta meneliti proses pemilihan dan pelantikan pembekal, dokumen tawaran serta harga, harga pembelian anak benih, caj pengangkutan, kuantiti anak benih yang ditempah dan dibekalkan serta invois, pesanan pembelian dan tuntutan bayaran.

“Dokumen-dokumen asas saya sudah serahkan kepada SPRM. Biar SPRM yang menjalankan siasatan untuk menentukan perkara yang benar atau tidak,” katanya.

Mohd Syahrizal berkata, pihaknya turut meminta SPRM menyiasat sekiranya terdapat unsur salah guna kuasa, konflik kepentingan, ketidakpatuhan prosedur, manipulasi harga, tuntutan tidak tepat, penyelewengan, rasuah atau apa-apa bentuk salah laku berkaitan pelaksanaan program berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menyokong penuh cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Felda, yang disifatkannya mampu membantu memperkukuh tadbir urus serta integriti agensi berkenaan pada masa hadapan.

“Saya yakin penubuhan RCI Felda ini akan menstabilkan dan mewujudkan integriti Felda yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN 

The post Generasi baharu peneroka Felda Palong 7 gesa SPRM siasat projek tanam semula sawit bernilai RM80 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved