Genetec tamatkan usaha sama bateri Citaglobal menerusi transaksi RM1

LocalBusiness & Finance
9 Nov 2026 • 11:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Genetec tamatkan usaha sama bateri Citaglobal menerusi transaksi RM1 Image from: Genetec tamatkan usaha sama bateri Citaglobal menerusi transaksi RM1 johardy09/11/2026 - 11:15 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Nov - Genetec Technology Berhad menamatkan usaha sama dalam pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri bersama Citaglobal Berhad dengan melupuskan keseluruhan pegangannya serta memindahkan hak tuntutan hutang RM2.24 juta pada harga keseluruhan hanya RM1.

 

Langkah itu menamatkan kerjasama yang dimeterai pada 2022, selepas syarikat usaha sama mereka, Citaglobal Genetec BESS Sdn Bhd, mencatatkan kerugian sejak memulakan operasi pada 2023.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Genetec memaklumkan pihaknya menandatangani perjanjian jual beli saham dengan Citaglobal dan anak syarikatnya, Citaglobal New Energy Sdn Bhd, pada tarikh sama.

 

Menerusi perjanjian tersebut, Genetec akan menjual 250,000 saham biasa yang mewakili keseluruhan pegangan 50% dalam syarikat usaha sama itu kepada Citaglobal New Energy. Baki 50% saham dimiliki Citaglobal.

 

Genetec turut bersetuju memindahkan semua hak dan kepentingannya terhadap hutang RM2,244,675.71 yang perlu dibayar oleh syarikat usaha sama itu kepada Citaglobal New Energy, tertakluk kepada penyempurnaan pelupusan saham berkenaan.

 

Pelaburan dan hutang terjejas nilai sepenuhnya

Menurut Genetec, harga keseluruhan RM1 mengambil kira kedudukan kewangan dan prospek perniagaan syarikat usaha sama itu serta kemerosotan nilai penuh pelaburan dan baki hutang yang perlu dibayar kepadanya.

 

Citaglobal Genetec BESS merekodkan kerugian selepas cukai belum diaudit sebanyak RM51,911.63 dan liabiliti bersih RM4.35 juta setakat 30 Jun 2026.

 

Syarikat yang ditubuhkan pada 19 Januari 2023 itu mempunyai modal saham diterbitkan RM500,000 dan menjalankan kegiatan pembuatan peralatan pengagihan dan kawalan elektrik serta bateri dan akumulator.

 

Genetec menjelaskan penamatan kerjasama tersebut berpunca daripada perbezaan objektif perniagaan dan keutamaan strategik dengan Citaglobal, bagi membolehkan kedua-dua pihak meneruskan hala tuju masing-masing secara berasingan.

 

Penyempurnaan transaksi tertakluk kepada pemenuhan atau pengecualian syarat terdahulu, termasuk mendapatkan kelulusan dan persetujuan yang diperlukan serta pemindahan kontrak projek berkaitan daripada syarikat usaha sama itu kepada Genetec melalui novasi.

 

Syarat tersebut perlu dipenuhi atau diketepikan dalam tempoh dua bulan daripada tarikh perjanjian, melainkan dilanjutkan melalui persetujuan bertulis bersama. Mana-mana pihak boleh menamatkan perjanjian jika syarat berkenaan tidak dipenuhi atau diketepikan dalam tempoh ditetapkan.

 

Transaksi dijangka selesai suku akhir 2026

Genetec menjangkakan transaksi diselesaikan pada suku terakhir 2026, tertakluk kepada tiada perkara di luar jangkaan. Selepas penyempurnaannya, perjanjian kerjasama bertarikh 6 Oktober 2022 serta terma rujukan berkaitan usaha sama tersebut akan ditamatkan.

 

Transaksi itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia dan tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih atau penggearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027. — DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved