IOIPG dijangka raih sehingga RM2.43 bilion menerusi tawaran REIT pada harga runcit 96 sen

LocalBusiness & Finance
3 Nov 2026 • 11:03 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IOIPG dijangka raih sehingga RM2.43 bilion menerusi tawaran REIT pada harga runcit 96 sen Image from: IOIPG dijangka raih sehingga RM2.43 bilion menerusi tawaran REIT pada harga runcit 96 sen johardy03/11/2026 - 11:03 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov - IOI Properties Group Berhad (IOIPG) dijangka menerima hasil kasar sehingga kira-kira RM2.43 bilion daripada tawaran unit IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust (IOIPG REIT), berdasarkan harga tawaran runcit 96 sen seunit dan andaian opsyen penguntukan berlebihan dilaksanakan sepenuhnya.

 

Menurut prospektus yang difailkan di Bursa Malaysia hari ini, tawaran itu membabitkan sehingga 2.2 bilion unit, dengan opsyen penguntukan berlebihan meliputi sehingga 330 juta unit tambahan.

 

Keseluruhan hasil tawaran akan diterima IOIPG selaku penaja, manakala IOIPG REIT tidak akan menerima hasil daripada tawaran tersebut kerana ia tidak membabitkan penerbitan unit baharu.

 

Permohonan tawaran runcit dan institusi dibuka pada pukul 10 pagi hari ini dan akan ditutup pada pukul 5 petang, 10 November 2026.

 

Pengundian permohonan dijadualkan pada 12 November dan penguntukan unit kepada pemohon berjaya pada 24 November, sebelum penyenaraian tentatif di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 25 November menggunakan nama singkat IOIREIT dan kod saham 5359.

 

Sembilan aset bernilai hampir RM7.66 bilion

Portfolio awal IOIPG REIT merangkumi sembilan aset runcit, pejabat dan hotel dengan nilai penilaian agregat hampir RM7.66 bilion setakat 31 Mei 2026.

 

Aset berkenaan terdiri daripada IOI City Mall, IOI City Towers dan PFCC Towers serta enam hotel iaitu Putrajaya Marriott Hotel, Le Méridien Putrajaya, Moxy Putrajaya, Four Points by Sheraton Puchong, W Kuala Lumpur dan Courtyard by Marriott Penang.

 

IOIPG berhasrat mengekalkan pegangan sehingga 60% daripada keseluruhan 5.5 bilion unit selepas penyenaraian, dengan pegangan akhirnya tertakluk kepada pelaksanaan opsyen penguntukan berlebihan.

 

Pengurus REIT berhasrat mengagihkan sekurang-kurangnya 90% daripada pendapatan boleh agih secara suku tahunan atau pada sela masa lain yang ditentukan mengikut budi bicaranya, dengan agihan pertama meliputi tempoh dari tarikh penyenaraian hingga 31 Mac 2027.

 

Struktur tawaran merangkumi 715.61 juta unit bagi pelabur runcit dan sehingga 1.48 bilion unit bagi pelabur institusi, tertakluk kepada peruntukan penarikan balik dan pengagihan semula serta opsyen penguntukan berlebihan bagi tawaran institusi.

 

Harga akhir runcit boleh lebih rendah

Daripada tawaran runcit, sebanyak 550.61 juta unit diperuntukkan kepada pemegang saham IOIPG yang layak atas dasar satu unit bagi setiap 10 saham biasa yang dipegang pada tarikh kelayakan, manakala 55 juta unit diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan dan rakan niaga yang layak serta 110 juta unit kepada orang awam Malaysia, termasuk 55 juta unit untuk orang awam Bumiputera.

 

Harga akhir runcit akan ditetapkan pada harga yang lebih rendah antara 96 sen seunit dengan harga institusi yang ditentukan melalui proses pembinaan buku tempahan, dengan perbezaan bayaran dipulangkan kepada pemohon runcit sekiranya harga akhir lebih rendah daripada harga yang dibayar ketika permohonan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved