Geng curi EX5 didakwa, seorang dipenjara dua tahun

5 Oct 2026 • 1:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Geng curi EX5 didakwa, seorang dipenjara dua tahun
Kesemua tertuduh yang tiba di pekarangan Mahkamah Bachok pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

BACHOK - Empat lelaki dari geng curi motosikal iaitu dua beradik dan dua remaja berusia 16 dan 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas dua pertuduhan curi kenderaan itu.

Mereka ialah, Muhammad Bismi Aiman Zakaria,22; adiknya, Muhammad Ridwan, 20, dan dua remaja lagi lelaki berkenaan didakwa di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.

Muhammad Bismi Aiman pada prosiding itu mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama setahun enam bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara dua tahun bagi pertuduhan kedua yang diarah berkuat kuasa serentak dari tarikh dia ditangkap pada 24 September lalu.

Sementara itu, Muhammad Ridwan dan remaja berusia 16 tahun tersebut turut mengaku salah namun kes ditetapkan sebutan semula pada 25 November ini untuk laporan akhlak dan sosial kerana pesalah muda serta bawah umur.

Bagi remaja 18 tahun pula, dia mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu dan ditetapkan sebutan pada tarikh sama.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama mencuri sebuah motosikal jenis EX5 bernilai RM3,000 milik seorang wanita di hadapan sebuah rumah Perumahan Orang Kurang Upaya di Kampung Aur Telong di sini pada jam 3 pagi, 8 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama mencuri motosikal jenis sama milik seorang pemuda di Kampung Kubang Perupok di sini pada jam 1 pagi, 15 September lalu.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala kesemua tertuduh diwakili dua peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) antaranya Norizaidah Abdul Salam.

“Tertuduh Muhammad Bismi dan adiknya bekerja menjual ayam, menjaga bapa sakit kronik dan ibu bekerja sebagai tukang cuci selain perlu menyara adik di Tingkatan Satu.

“Remaja 18 tahun ini pula baru lepas tamat persekolahan manakala remaja 16 tahun tersebut masih bersekolah di Bachok. Ibu bapa mereka sudah bercerai,” kata Norizaidah.

Pada prosiding itu, mahkamah membenarkan Muhammad Ridwan dan remaja 18 tahun terbabit diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan dua penjamin manakala remaja 16 tahun dibenarkan jamin berjumlah RM4,000.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved