AutoCharge kini tersedia di Gentari Go untuk semua pengguna di beberapa racngkaian pengecas pantas arus terus (DC) terpilih milik Gentari di seluruh negara. Pengumuman ini dibuat oleh Gentari melalui laman Facebook rasmi mereka pada hari ini.

Pelancaran fungsi ini turut disertakan dengan ganjaran menarik sebagai sebahagian daripada promosi pelancaran. Dengan adanya AutoCharge, pengguna tidak lagi perlu melalui langkah-langkah lama seperti mengimbas kod QR, menggunakan kad RFID atau membuka aplikasi berulang kali. Sebaliknya, prosesnya lebih mudah dengan hanya menyambungkan kabel ke kereta, membiarkannya mengecas dan meneruskan perjalanan tanpa gangguan. Hal ini menjadikan pengalaman mengecas lebih mudah dan mesra pengguna.

Gentari turut mengemas kini sistem ganjaran serta menambah baik keselamatan aplikasi bagi menjadikan pengalaman mengecas lebih lancar dan selamat dari awal hingga akhir. Sebagai tawaran istimewa, 500 pengguna pertama yang melengkapkan sesi AutoCharge akan menerima RM10 Go Credits.

Aplikasi Gentari Go sebelum ini diumumkan pada tahun 2024 dan kini menjadi platform untuk pengguna kenderaan elektrik di Malaysia. Setakat ini, Gentari mengendalikan lebih daripada 500 titik pengecasan EV di Malaysia serta lebih 1,000 titik pengecasan di Malaysia, India dan Thailand. Melalui fungsi kerjasama rangkaian pengecas EV pula, pengguna turut mempunyai akses kepada lebih 5,000 titik pengecasan EV di seluruh rantau ini bagi pengalaman pengecasan lebih mudah diakses.





