
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yakin gerakan koperasi di Sabah – yang mempunyai 1,707 koperasi berdaftar dan lebih 350,000 anggota di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) – dapat membantu membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.
“Saya berbangga Sabah mempunyai jumlah koperasi berdaftar kedua tertinggi di negara ini selepas Selangor dengan jumlah pendapatan RM570 juta.
“Ini membuktikan gerakan koperasi di Sabah telah berjaya memainkan peranannya dan menyumbang secara signifikan sebagai salah satu ejen pertumbuhan sosioekonomi yang berpotensi membasmi kemiskinan tegar,” katanya pada Hari Koperasi Negara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Sabtu.
Beliau malah lebih berbangga kerana empat – Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad, Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad, Koperasi Borneo Malaysia Berhad dan Koperasi Usahawan Tawau Berhad disenaraikan dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia tahun lalu.
SPONSORED CONTENT A&W poised for rapid growth in Sabah Kota Kinabalu: A&W is geared to become the leading Quick Service Restaurant (QSR) chain in Sabah, with its strong re-entry into Sabah with the opening of the first outlet in Inanam in November 2022. Read more “Syabas dan tahniah kepada semua koperasi di Sabah. Saya ingin melihat lebih banyak koperasi dari Sabah tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun akan datang,” katanya, menambah beliau percaya jumlah ini boleh dipertingkatkan apabila kesedaran dan minat menyertai koperasi menjadi cara hidup yang menyumbang kepada kemakmuran sosio-ekonomi negara.
“Ini kerana koperasi merupakan pendekatan berkesan bukan sahaja dalam merangsang pembangunan sektor keusahawanan, malah memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 menangani cabaran peningkatan kos sara hidup,” katanya.
“Keazaman dan komitmen kerajaan adalah untuk memudahkan dan bukan untuk menghalang, membantu menyediakan dasar yang mesra koperasi agar gerakan koperasi, khususnya di Negeri ini, berdaya maju dan berdaya saing,” katanya.
Selaras dengan Pelan Pembangunan Masa Depan Sabah Maju Jaya yang memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan, Kerajaan Negeri berharap gerakan koperasi di negeri ini dapat memanfaatkan inisiatif dan insentif kewangan yang disediakan untuk memajukan sektor perniagaan koperasi yang diceburinya, katanya.
“Begitu juga dari segi bantuan pembiayaan dan dana pembangunan modal koperasi, baru-baru ini saya dimaklumkan bahawa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui SKM telah meluluskan bantuan pembiayaan Kumpulan Wang Modal Putaran SKM Tahun 2023 kepada dua koperasi di Sabah, dengan jumlah dana RM25.9 juta, dalam bentuk pembelian 1,500 ekar tanah perniagaan dan juga aset tanah runcit sawit.
“Selain itu, SKM juga telah meluluskan bantuan kepada dua koperasi melalui program pembiayaan dikenali sebagai Program e-Fast dalam bentuk geran pembangunan perniagaan kepada koperasi produktif bagi memperkasakan perniagaan mereka,” katanya.
Hajiji berkata, peranan koperasi adalah untuk melengkapkan dan berganding bahu dengan kerajaan dan swasta dalam mengisi peluang perniagaan belum diterokai yang wujud dalam membangunkan Negeri khususnya.
“Justeru, saya mahu semua gerakan koperasi di Sabah terus memperkasakan diri, meningkatkan daya saing dan merebut peluang ekonomi yang ada.
“Di Sabah kita mempunyai banyak jenis koperasi yang membangunkan sosio-ekonomi masyarakat, sama ada berkaitan aktiviti peruncitan atau pelancongan dan kelestarian alam sekitar. Negeri ini kaya dengan sumber semula jadi dan sosiobudaya yang mampu menarik ramai pelancong berkunjung sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.
Menurutnya, pembukaan semula pintu sempadan negara memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan di mana Sabah mencatatkan 1.73 juta ketibaan pelancong tahun lalu dan tahun ini dijangka seramai 2.2 juta orang mampu menjana pendapatan RM4.1 bilion.
Beliau menggesa koperasi di Sabah memanfaatkan ledakan industri pelancongan, yang mewujudkan pelbagai peluang perniagaan hiliran seperti penginapan, inap desa, pengangkutan, restoran, taman, dan kedai cenderamata.
Ketua Menteri turut mengalu-alukan penyertaan 186 belia dari 19 negara Asia Pasifik ke Sidang Kemuncak Belia Koperasi Asia Pasifik di Sabah yang julung kali diadakan di Malaysia dari 27 hingga 30 Julai tahun ini.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


