Geran Digital PMKS MADANI Fest 2025 perkasa transformasi digital sektor kesihatan

11/08/2025 - 09:27
Geran Digital PMKS MADANI bakal perkukuh ekosistem kesihatan negara Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Penganjuran Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 menjadi platform strategik Kerajaan untuk memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam sektor kesihatan agar tidak tercicir daripada arus kemajuan teknologi masa hadapan.
Usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bertujuan membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran akan datang, selaras dengan agenda transformasi digital negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penerapan teknologi baharu merupakan kunci kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan dan pemacu daya saing PMKS.
“Program ini menampilkan sesi perkongsian bantuan transformasi penjagaan kesihatan, demonstrasi penyelesaian teknologi masa hadapan, pengalaman realiti maya (VR) serta kepentingan pendigitalan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Kerajaan berharap inisiatif ini menjadi pemangkin kepada ekosistem penjagaan kesihatan pintar, inklusif dan berdaya saing demi kesejahteraan komuniti perubatan, PMKS dan rakyat Malaysia,” katanya ketika merasmikan program itu di Johor Bharu, semalam.


Penganjuran GDPM Fest 2025 turut mendapat sokongan rakan strategik termasuk Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), Bank Simpanan Nasional (BSN), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan syarikat teknologi kesihatan masa hadapan.
Selain itu, MCMC bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan kesedaran mengenai Guideline on Online Healthcare Services (OHS), satu garis panduan penting bagi memastikan penggunaan platform kesihatan digital yang selamat, beretika dan bertanggungjawab.
GDPM Fest 2025 dilaksanakan secara berperingkat bermula di Johor Bahru, diikuti Kuantan, Pahang pada 17 Ogos dan Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Ogos, sebagai pendekatan setempat yang lebih dekat dengan komuniti perubatan dan usahawan kesihatan tempatan.- DagangNews.com
standard


