Gesa pinda Perlembagaan Persekutuan, jamin 30 peratus wakil wanita tanding PRU, PRN

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 4:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gesa pinda Perlembagaan Persekutuan, jamin 30 peratus wakil wanita tanding PRU, PRN
Bendahari Wanita UMNO Kedah, Suraiya

KUALA LUMPUR - Wakil Wanita UMNO mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam setiap Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bendahari Wanita UMNO Kedah, Suraiya Md Isa berkata, penyertaan wanita dalam politik tidak seharusnya hanya dijadikan sasaran atau aspirasi, sebaliknya perlu diberikan jaminan melalui perundangan.

Menurutnya, tuntutan itu bukan atas dasar simpati, sebaliknya kemampuan, pengalaman, pendidikan serta rekod khidmat wanita dalam parti dan masyarakat.

"Tuntutan kita hari ini jelas, calon wanita mesti diberikan kawasan yang mempunyai peluang untuk menang, pemilihan calon wanita hendaklah dibuat berdasarkan merit, kemampuan, integriti dan rekod perkhidmatan.

"Parti perlu menyediakan latihan, dana dan sokongan jentera yang setara kerana kita hendak bina sebuah UMNO yang mencerminkan masyarakat negara ini," katanya ketika membahaskan usul ucapan pada Perhimpunan Agung Waita UMNO di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.

Ketua Wanita UMNO Padang Terap itu berkata, beberapa negara lain sudah menetapkan nisbah penyertaan wanita dalam politik, sekali gus menunjukkan sasaran 30 peratus itu mampu dilaksanakan.

"Di Indonesia, mereka menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon adalah wanita.

"Di Brazil pula menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus dan maksimum 50 hingga 70 peratus bagi kedua-dua jantina.

"Jika negara lain berani membuka ruang kepada wanita, kenapa Malaysia masih terlalu berhati-hati?" katanya.

Beliau berkata, isu penglibatan wanita sebagai calon pilihan raya bukan perkara baharu kerana perjuangan itu telah dibawa sehingga kepimpinan Wanita UMNO ketika ini.

"Kalau Wanita dianggap cukup kuat untuk menggerakkan jentera, cukup setia untuk mempertahankan parti dan cukup cekal berhadapan dengan rakyat, maka Wanita juga mesti dianggap cukup layak untuk berada di atas pentas politik.

"Wanita bukan sahaja jadi tulang belakang parti, tetapi Wanita juga layak untuk diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya," katanya lagi.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved