Wanita UMNO tuntut penyertaan 30 peratus wanita dilaksanakan 

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 1:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wanita UMNO tuntut penyertaan 30 peratus wanita dilaksanakan 

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO mempersoalkan sasaran 30 peratus penyertaan wanita yang sekian lama diperkatakan tetapi masih belum diterjemahkan sepenuhnya apabila tiba masa menentukan calon.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pergerakan itu tidak mahu hanya diperlukan ketika parti memerlukan tenaga sebaliknya wanita juga mesti diberikan ruang dalam proses membuat keputusan dan menentukan arah perjuangan.

“Kita telah terlalu lama bercakap tentang sasaran 30 peratus. 30 peratus di atas kertas. 30 peratus di atas pentas. Tetapi apabila tiba masa nak tentukan calon, nanti dulu lah.

“Wanita bukannya menuntut tempat atas dasar belas kasihan. Kita juga tidak meminta jalan dipermudahkan.

“Kita hanya mahu kemampuan Wanita dinilai dengan adil dan peluang diberikan kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Menurut Noraini, Wanita UMNO selama berpuluh tahun dianggap sebagai tulang belakang parti dengan peranan mendekati pengundi, menguruskan Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta menjaga kebajikan masyarakat.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan mengapa suara Wanita tidak sentiasa berada di hadapan ketika keputusan parti dibuat meskipun memainkan peranan penting ketika parti berada dalam keadaan senang mahupun sukar.

“Kalau Wanita tulang belakang parti, kenapa suara kita tidak sentiasa berada di hadapan ketika keputusan dibuat?

“Kita tak mahu hanya dipanggil ketika tenaga diperlukan. Wanita juga mesti berada di meja membentuk dasar dan bersama menentukan arah perjuangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan Laluan 30 Wanita UMNO bagi mengenal pasti, mempersiapkan dan membawa lebih ramai wanita ke kerusi kepimpinan.

Beliau berkata, usaha itu akan dimulakan menerusi penubuhan Bank Bakat Wanita UMNO. 

Katanya, setiap Wanita UMNO negeri perlu mengenal pasti individu berpotensi untuk berkhidmat di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN), Dewan Negara, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kepimpinan masyarakat.

“Kita cari mereka. Kita bina mereka. Kita uji mereka. Kita berikan mereka pengalaman. Kemudian, kita persiapkan mereka untuk memimpin.

“Saya tidak mahu Wanita meminta seseorang dipilih hanya kerana dia seorang wanita. Itu bukan perjuangan kita.

“Saya mahu apabila nama seorang wanita diangkat, bersamanya hadir kemampuan, integriti, rekod kerja dan keyakinan akar umbi,” katanya. – UTUSAN

The post Wanita UMNO tuntut penyertaan 30 peratus wanita dilaksanakan  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved