Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memuji Ahli Parlimen Bersatu kerana menjalankan tanggungjawab mereka dengan hadir dan membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) pada sidang khas Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai keputusan yang bijak dan tepat, berbeza dengan beberapa parti pembangkang lain dalam Perikatan Nasional (PN), termasuk PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), yang tidak meneruskan perbahasan berkenaan.
“Setidak-tidaknya Ahli Parlimen daripada Bersatu menjalankan fungsi mereka semalam dalam sidang khas Dewan Rakyat untuk membahaskan laporan RCI Tabung Haji.
“Itu adalah keputusan yang bijak, tepat dan berbeza dengan sikap parti pembangkang lain daripada PN,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Rakan Strategik Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Kementerian Komunikasi.

Kredit Foto: Sayuti Zainudin | Malay Mail
Semalam, Ahli Parlimen PN daripada PAS dan Wawasan bertindak keluar Dewan Rakyat serta enggan meneruskan perbahasan laporan RCI TH selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir pada sidang khas berkenaan.

Fahmi berkata, RCI berkenaan ditubuhkan pada 2021 ketika PAS dan Ketua Pembangkang ketika ini masih berada dalam Jemaah Menteri, manakala laporannya disiapkan pada 2022 ketika mereka masih berada dalam kerajaan.
Beliau turut mengingatkan bahawa portfolio hal ehwal agama ketika itu diterajui seorang menteri daripada PAS.
Mengenai gesaan beberapa Ahli Parlimen supaya RCI baharu ditubuhkan bagi menyiasat TH bagi tempoh 2021 hingga 2025, Fahmi berkata perkara itu perlu diputuskan Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Ada dua keputusan yang perlu dibuat. Pertama, di peringkat Jemaah Menteri sama ada untuk meneruskan ataupun mengembangkan siasatan.
“Oleh kerana ia Suruhanjaya Siasatan Diraja, keputusan itu juga perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Kredit Foto: Utusan Malaysia
Semalam, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencadangkan supaya RCI baharu ditubuhkan bagi tempoh 2021 hingga 2025 kerana siasatan sedia ada hanya meliputi tempoh 2014 hingga 2020.
Cadangan itu bertujuan meneliti pengurusan TH serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah kewangan dan pentadbiran institusi berkenaan.
Fahmi berkata, kerajaan kini menyerahkan dapatan laporan RCI TH kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut berdasarkan maklumat yang terkandung dalam laporan berkenaan.
Menurutnya, siasatan itu juga boleh mengambil kira maklumat tambahan yang diberikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Sumber: FMT





