Ghairah bayar hibah tinggi jejaskan kewangan LTH – RCI

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 9:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ghairah bayar hibah tinggi jejaskan kewangan LTH – RCI

PETALING JAYA – Keghairahan membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada krisis kewangan Lembaga Tabung Haji (LTH) sehingga menjejaskan kedudukan kewangan institusi itu.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati pembayaran hibah yang tinggi antara tahun 2014 hingga 2017 telah melampaui kemampuan kewangan LTH sehingga menyebabkan rizab institusi itu semakin menyusut.

Menurut laporan itu, hibah yang tinggi turut menarik lebih ramai pendeposit yang mencari pulangan lumayan, sekali gus menyebabkan LTH terpesong daripada matlamat asal penubuhannya sebagai institusi simpanan untuk bakal jemaah haji.

Laporan itu menjelaskan keadaan tersebut mendedahkan LTH kepada risiko pengeluaran deposit secara besar-besaran atau bank run sekiranya kadar hibah yang diumumkan lebih rendah daripada jangkaan pendeposit.

“Ini berlaku pada tahun 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus apabila saiz deposit LTH menurun daripada kira-kira RM73 bilion kepada RM69 bilion pada akhir tahun itu,” menurut laporan berkenaan.

RCI berkata, tekanan untuk terus mengisytiharkan hibah yang tinggi menyebabkan LTH terpaksa mengambil risiko pelaburan yang berlebihan berbanding sepatutnya.

Menurut laporan itu, pelaburan LTH ketika itu lebih cenderung kepada ekuiti yang terdedah kepada turun naik pasaran demi menjana pulangan lebih tinggi.

Dalam masa sama, Suruhanjaya turut mendapati pengurusan LTH mengamalkan amalan perakaunan kreatif bagi membolehkan hibah yang tinggi terus diisytiharkan.

Laporan itu menyatakan pengurusan LTH menggunakan nilai aset yang boleh direalisasikan (Realisable Asset Value atau RAV) berbanding nilai aset dalam penyata kewangan tahunan yang diaudit bagi menentukan pematuhan kepada Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995.

RCI turut mengesahkan beberapa penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC) adalah benar, termasuk wujudnya jurang defisit antara aset dan liabiliti LTH sejak tahun 2014.

Menurut Suruhanjaya, sekiranya piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) diguna pakai sepenuhnya, LTH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan ketika itu.

Untuk rekod, laporan RCI itu merupakan hasil siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi LTH bagi tempoh 2014 hingga 2020 yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memperincikan penemuan serta syor penambahbaikan terhadap institusi berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post Ghairah bayar hibah tinggi jejaskan kewangan LTH – RCI appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved