GISBH: Peguam kemuka representasi baharu November ini

LocalPolitics
5 Oct 2026 • 12:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Representasi GISBH

SHAH ALAM: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi bagi berhubung pertuduhan terhadap bekas pengurusan kanan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn. Bhd. di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Representasi itu membabitkan 331 pertuduhan yang dihadapi mereka berhubung pengubahan wang haram melibatkan lebih RM38.1 juta.

Keputusan tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul selepas kedua-dua representasi dan tambahannya yang dikemukakan oleh pembelaan sebelum ini melibatkan penelitian terhadap dokumen setebal 10,000 muka surat.

Bagaimanapun, peguam Datuk Rosli Kamaruddin memberitahu satu lagi representasi akan dihantar pada November ini dan beliau memohon kepada mahkamah supaya satu tarikh pengurusan kes ditetapkan bagi keputusannya.

Representasi tersebut dipercayai bagi meneliti kemungkinan hukuman denda boleh dikenakan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd. Nasiruddin Mohd. Ali dan tiga tertuduh lain iaitu bekas akauntan, Hamimah Yakub, 74, serta Asmat @ Asmanira Muhamad Ramly, 45, bersama suaminya, Md. Khushairi Osman ,55.

“Saya memohon satu tarikh bagi pengurusan kes kerana ada satu lagi representasi akan dimasukkan. Ini kerana representasi sebelum ini tidak ada isu ‘exploring compound’. Pembelaan akan memasukkan representasi berkenaan perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang mengendalikan prosiding di peringkat pengurusan kes itu memaklumkan pihaknya tiada halangan dan memohon supaya tarikh ditetapkan pada akhir Januari 2027.

Bagaimanapun, beliau memohon supaya mahakah turut menetapkan terus tarikh perbicaraan selepas kedua-dua pembelaan dan pendakwaan bersetuju supaya tarikh pada April tahun depan dicadangkan kepada mahkamah.

“Jumlah saksi yang akan dipanggil antara 15 hingga 20 orang,” ujarnya.

Hakim Datin Fatimah Zahari kemudian membenarkan representasi dikemukakan dan menetapkan 26 Januari 2027 bagi keputusannya selain menetapkan tarikh 26, 27 dan 28 April; 28, 29 dan 30 Jun serta 6, 7 dan 8 Julai bagi perbicaraan.

Pada prosiding tersebut, pendakwaan diketuai oleh Mohd. Ashrof bersama Muhamad Ehsan Nasarudin sementara pembelaan selain Rosli turut disertai Muhammad Zaim Rosli dan Kamal Hisham.

Pada Januari lalu Utusan Malaysia melaporkan, Mohd. Ashrof Adrin mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah setebal 10,000 muka surat.

Bagaimanapun, Rosli memohon suatu tempoh hingga empat bulan baginya meneliti keseluruhan dokumen tersebut selepas anak guam mengarahkan satu representasi dihantar.

Beliau memberitahu, dokumen tersebut melibatkan penyata-penyata bank dan maklumat-maklumat berkaitan syarikat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) perlu diteliti selepas anak guamnya mengarahkan representasi dihantar kepada AGC.

Kemudian, pada 30 Julai lalu, mahkamah menetapkan tarikh 5 Oktober apabila keputusan representasi tersebut masih belum diperolehi.

Berdasarkan pecahan pertuduhan, Nasiruddin didakwa sebanyak 77 pertuduhan berjumlah RM10,084,323.70 manakala Hamimah dengan 95 pertuduhan bernilai RM11,428,811.20.

Asmanira pula 68 pertuduhan bernilai RM4,688,205.01 sementara 91 pertuduhan berjumlah RM11,958,561.10 bagi Mohd. Khushairi.

Pertuduhan bagi kesemua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum dibawah Subseksyen (4)1 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. – UTUSAN

The post GISBH: Peguam kemuka representasi baharu November ini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved