
KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Sebanyak 12 individu, termasuk enam pegawai Jabatan Imigresen direman bagi membantu siasatan berhubung kegiatan penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Susulan keputusan itu, lima suspek direman tiga hari bermula hari ini manakala tujuh lagi suspek direman dua hari.
Selain empat pegawai imigresen dan dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat jabatan itu, turut direman ialah dua pengarah syarikat, tiga warga asing serta seorang pegawai polis, kesemuanya berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an.
Kesemua suspek ditahan secara berasingan antara pukul 2 hingga 5 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM dan Pejabat Imigresen Pulau Pinang menerusi operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen sejak Mei lepas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman dalam kenyataan hari ini berkata siasatan awal mendapati sindiket itu telah meluluskan 1,306 PLKS palsu menggunakan kuota 2011 tanpa sebarang bayaran levi pas, sekali gus menyebabkan kerugian dianggarkan RM2.4 juta kepada kerajaan.
“Siasatan awal juga mendapati sindiket itu bertindak membayar wang rasuah antara RM1,000 hingga RM6,000 bagi setiap permohonan PLKS kepada pegawai imigresen terbabit sebagai balasan meluluskan permohonan tanpa mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata operasi di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang itu turut dibantu CyberSecurity Malaysia (CSM), Telekom Malaysia dan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM dengan operasi menggeledah dijalankan di premis syarikat serta pejabat imigresen di Pulau Pinang dan Putrajaya.
Dalam operasi itu, SPRM menyita harta alih, antaranya wang tunai bernilai RM186,360, SGD700, barangan kemas bernilai RM15,700 dan pelbagai peranti elektronik termasuk telefon bimbit serta komputer riba yang dianggarkan bernilai RM36,000.
Abd Halim berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA






