Empat Pegawai Imigresen Antara 12 Ditahan Godam MyIMMs

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 5:26 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Empat Pegawai Imigresen Antara 12 Ditahan Godam MyIMMs

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Empat pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM antara 12 individu ditahan menerusi operasi bersepadu bagi menumpaskan kegiatan penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) berkaitan permohonan serta kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah, petang semalam.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman berkata turut ditahan dalam operasi dilaksanakan agensi itu dengan kerjasama JIM ialah dua pengarah syarikat, tiga warga asing dan seorang pegawai polis.

Beliau berkata kesemua suspek berumur lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan antara 2 dan 5 petang di Ibu Pejabat SPRM dan JIM Pulau Pinang

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi pas yang dikeluarkan.

“Sebanyak 1,306 PLKS palsu dikeluarkan menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM2.4 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Halim berkata penggeledahan turut dijalankan di premis syarikat serta pejabat JIM di Pulau Pinang dan Putrajaya.

Beliau berkata operasi berkenaan adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dan Bahagian Perisikan JIM yang dilaksanakan sejak Mei lepas di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Beliau berkata operasi itu turut dibantu Cyber Security Malaysia (CSM), Telekom Malaysia dan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM.

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi permohonan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) dan 16(a) Akta SPRM 2009.

The post Empat Pegawai Imigresen Antara 12 Ditahan Godam MyIMMs appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved