Malaysia ingin menjadi hab kecerdasan buatan (AI) di Asia Tenggara tetapi hari ini Google DeepMind mengumumkan mereka memilih Singapura sebagai lokasi pembukaan makmal kajian mereka untuk rantau Asia Pasifik. Singapura menjadi negara pilihan kerana wujudnya sokongan daripada kerajaan menerusi National AI Strategy 2.0 dan Smart Nation 2.0 yang menjadikannya hab yang ideal untuk mengembangkan tapak DeepMind.

Pengumuman hari ini adalah usaha Google mengembangkan ekosistem Asia-Pasifik dengan pasukan Google DeepMind APAC telahpun meningkat lebih dua kali ganda sejak setahun lalu. Di Singapura Google telah melakukan pelbagai kerjasama dengan agensi tempatan.
Antara yang telah dilakukan ialah penggunaan AlphaFold oleh Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) dan Institut Neurosains Kebangsaan untuk mencari hubungan antara imunologi dan penyakit Parkinson. Disamping itu mereka turut menyokong pembangunan model bahasa raya SEA-LION yang menyokong pelbagai bahasa Asia Tenggara dan memberikan akses percuma selama tahun Gemini Pro kepada pelajar Singapura.
Google komited untuk memastikan manfaat AI direalisasikan di seluruh APAC. Melalui makmal penyelidikan AI baharu ini kelak mereka akan meneruskan kerjasama rakan kongsi supaya AI dapat memenuhi keperluan, dan mencerminkan budaya lebih separuh penduduk dunia yang tinggal di APAC.


