Landskap penghasilan filem pendek akan berubah dengan pelancaran Google Flow di Google I/O pagi ini. Ini ialah perkhidmatan baharu oleh Google yang boleh menghasilkan video pendek menggunakan kombinasi model Veo, Imagen dan Gemini yang diumumkan sebelum ini.
Keunikan Flow ialah aset dalam bentuk gambar boleh dijana menggunakan Imagen yang disimpan sebagai prop menggunakan ciri “Ingredients”. Kemudian Flow boleh diarahkan menggunakan Ingredients dalam video yang dijana pula menggunakan Veo. Prom boleh ditulis dengan bahasa biasa yang difahami oleh Gemini.

Flow akan mengingati semua objek dan video yang dijana pengguna. Video pendek boleh dijana dari satu babak ke satu babak yang lain secara berterusan dengan watak serta objek akan kekal konsisten. Ini ialah isu awal beberapa model AI generatif video sebelum ini yang terlalu rawak. Kawalan diberikan di tangan penghasil video sepanjang masa. Lebih berkuasa ialah pengguna boleh mengarahkan pergerakan kamera yang dikehendaki dalam video sebelum ia dijana.

Flow juga mempunyai ciri suntingan asas terbina membolehkan babak yang nampak aneh dipotong terus sebelum babak seterusnya dijana. Jika babak yang dihasilkan terlalu pendek, ciri Extend boleh digunakan untuk memanjangkannya dengan pengakhiran yang dikehendaki.
Google bekerjasama dengan beberapa pengkarya untuk membangunkan Flow dan video di atas dan bawah adalah antara filem pendek yang telah dihasilkan sepenuhnya dengan perkhidmatan AI generatif ini. Google Flow boleh digunakan menerusi langganan Google AI Pro pada harga $19.99 (~RM 86) sebulan atau Googel AI Ultra pada harga $249.99(~RM 1074) sebulan yang menawarkan lebih banyak ciri serta kredit janaan.
