liza20/10/2026 - 18:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt – Gamuda Berhad memeterai perjanjian pelaksanaan Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS) hari ini bersama Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Khazanah Air Perak Sdn Bhd (KAP) dan Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd (PAIPP).
Perjanjian itu menetapkan tempoh pembangunan loji rawatan air Fasa 1 selama enam tahun bermula dari tarikh PAIPP diberikan hak akses yang sah ke tapak projek untuk memulakan kerja, manakala tempoh operasi dan penyelenggaraan berlangsung selama 40 tahun dari tarikh operasi komersial.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata perjanjian berkenaan memformalkan pelantikan PAIPP sebagai pengendali loji rawatan air serta peranan KAP dalam pembangunan infrastruktur sumber air bagi skim berkenaan.
KAP merupakan syarikat usaha sama 50:50 antara Gamuda dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), manakala PAIPP ialah anak syarikat milik penuh KAP.
KAP kendali pembangunan infrastruktur sumber air
Di bawah perjanjian itu, KAP bertanggungjawab membangunkan infrastruktur untuk mengambil dan memindahkan sehingga kira-kira 1,500 juta liter air mentah sehari dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah.
Skop kerja berkenaan merangkumi kemudahan pengambilan air, stesen pengepaman, terowong, portal, saluran paip, empangan, terusan dan infrastruktur sokongan, termasuk kerja reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujian serta pentauliahan.
Bagaimanapun, pelaksanaan skop infrastruktur sumber air itu bergantung pada aturan kontrak dan pembiayaan antara Kerajaan Negeri Perak dengan Kerajaan Persekutuan.
PAIPP bertanggungjawab terhadap loji rawatan air
Sementara itu, PAIPP akan membangunkan, mengendalikan dan menyelenggara loji rawatan air, tertakluk kepada kelulusan kawal selia berkaitan termasuk pelesenan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.
Fasa pertama melibatkan loji rawatan air berkapasiti reka bentuk 500 juta liter sehari di utara Perak, berhampiran sempadan Pulau Pinang.
PAIPP dibenarkan membekalkan 300 juta liter air terawat sehari kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), dengan sebarang peningkatan jumlah bekalan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri Perak.
Fasa kedua pula melibatkan cadangan pembinaan loji rawatan air tambahan berkapasiti 150 juta liter sehari di dalam atau berhampiran Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).
Pelaksanaannya bergantung pada pemilihan pembeli air, pelan pembiayaan dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Pembiayaan dan penyerahan aset
Menurut Gamuda, KAP dan PAIPP masing-masing bertanggungjawab mendapatkan pembiayaan bagi skop kerja masing-masing, manakala Kerajaan Negeri Perak akan membantu kedua-dua pihak mendapatkan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan.
KAP dan PAIPP tidak memiliki loji rawatan air atau aset infrastruktur sumber air berkenaan. Apabila perjanjian tamat atau ditamatkan lebih awal, aset, hak dan kepentingan berkaitan perlu diserahkan kepada Kerajaan Negeri Perak, bebas daripada sebarang bebanan yang diwujudkan oleh kedua-dua syarikat. - DagangNews.com






