amree29/10/2026 - 09:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt — Alpha IVF Group Berhad melabur 180 juta peso (RM11.7 juta) bagi membuka pusat In-Vitro Fertilisation (IVF) pertama di Tuguegarao City, Cagayan sekali gus menjadi satu-satunya fasiliti IVF lengkap di Luzon Utara, Filipina.
Menurut kenyataan kumpulan pakar penjagaan kesuburan tersebut, pembukaan pusat kedua di negara jiran berkenaan melebarkan lagi liputan syarikat daripada Metro Manila ke wilayah Luzon Utara yang mempunyai populasi sekitar 23.2 juta penduduk.
Jelasnya, isu cabaran logistik pesakit yang sebelum ini terpaksa menempuh perjalanan darat hingga 10 jam ke Manila kini dapat diatasi dengan kemudahan rawatan lengkap seperti pengambilan oosit (OPU) dan pemindahan embrio secara setempat.
"Pusat baharu itu berkeupayaan mengendalikan sehingga 500 OPU setahun dan menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan rawatan kesuburan moden termasuk ujian genetik prapenanaman serta prosedur ginekologi invasif minimum," kata Alpha IVF.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Dr Colin Lee berkata, pembukaan cawangan Tuguegarao dilaksanakan sejurus selepas pelancaran pusat IVF di Jakarta, Indonesia awal bulan Oktober dalam usaha aktif syarikat merealisasikan pelan pertumbuhan serantau.
Tambah beliau, kedudukan sebagai satu-satunya pusat IVF lengkap di Luzon Utara memberi peluang terbaik kepada kumpulan tersebut sendiri untuk mengukuhkan lagi jenama dan membina kepercayaan dalam kalangan pesakit seawal mungkin.

Ujar beliau, pelancaran di negara berkenaan secara keseluruhannya membolehkan kumpulan itu kini memiliki rangkaian serantau sebanyak lapan pusat IVF yang lengkap merentasi Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.
Pengumuman perluasan itu dibuat susulan kelulusan pemegang saham berhubung cadangan pemindahan penyenaraian kumpulan daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada Rabu.
Bagi prestasi kewangan, Alpha IVF berjaya mencatatkan hasil suku tahunan tertinggi sebanyak RM52.9 juta bagi suku pertama berakhir 31 Ogos 2026 (1QFY27), meningkat 1.5% berbanding RM52.1 juta tempoh sama tahun kewangan 2026 lalu.
Pertumbuhan hasil disokong oleh peningkatannya dalam kalangan pesakit tempatan di Malaysia yang melonjak 12.1% kepada sebanyak RM16.8 juta serta sumbangan lebih tinggi daripada operasi luar negara seperti Singapura dan Indonesia.
Kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.25 sen sesaham membabitkan jumlah RM12.1 juta atau 79.9% daripada untung bersih selepas cukai (PATMI) bagi FY27 yang akan dibayar pada 13 Januari 2027. - DagangNews.com





