Dengan pelancaran siri peranti pintar Google Pixel 11 semalam, Google juga telah memperlihatkan beberapa ciri-ciri perisian menarik yang telah dikemaskini untuk siri peranti tersebut, termasuklah ciri Live Transcribe. Sebelum ini, ciri Live Transcribe dilihat boleh menukar diksi pertuturan ke teks sebagai cara merakam maklumat yang cekap.

Terkini, dengan penawaran model bahasa Sign Language to Text (SL2T) terbaru yang dibangunkan oleh Google Deepmind, ciri Live Transcribe pada siri peranti Google Pixel 11 kini boleh menterjemah bahasa isyarat American Sign Language kepada teks dengan cepat.
Kamera pandang hadapan siri peranti ini digunakan untuk merakam pergerakan tangan yang kemudiannya boleh diterjemahkan kepada teks sebagai cara merakam fikiran ataupun untuk membolehkan orang ramai memahami pertuturan dalam bahasa isyarat.

Pihak Google Deepmind mengatakan bahawa model SL2T dilatih menggunakan data bahasa isyarat American Sign Language sebanyak 100,000 jam. Buat masa ini, fungsi terjemahan ini hanya boleh menterjemah ASL ke bahasa inggeris, tetapi pihak Google telah mengesahkan bahawa ia akan menyokong lebih banyak pilihan bahasa isyarat lain dan akan boleh diterjemah kepada lebih banyak bahasa kelak.
Buat masa ini, model bahasa SL2T ini telah diperkenalkan pada ciri Live Transcribe pada siri peranti Google Pixel 11 dan juga aplikasi papan kekunci GBoard.
Sumber: Google Deepmind



