Google hari ini secara rasminya memperkenalkan siri telefon pintar terbaru mereka, iaitu Pixel 9. Beberapa variasi model ditawarkan dibawah siri ini, dan model paling asas dinamakan Pixel 9.

Google Pixel 9 hadir dengan skrin 6.3-inci menggunakan panel Gorilla Glass Victus 2 pada nisbah skrin 20:9, dikuasakan cip Google Tensor G4, memori 12GB RAM, dan storan dengan pilihan 128GB atau 256GB. Google turut menyertakan dwi-kamera belakang dengan sensor utama 50MP serta ditemani dengan sensor 48MP ultra-lebar. Untuk swafoto, ia hadir dengan kamera 10.5-megapixel dibahagian hadapan.
Google Pixel 9 hadir dengan sokongan kalis air IP68, menyokong USB Type-C 3.2, Wifi 7, Bluetooth 5.3, NFC, Google Cast, dan bateri 4700mAh. Peranti ini menyokong pengecascan pantas 45W, membolehkan peranti dicas sehingga 55% dalam masa 30 minit.
Google turut memfokuskan kepada sejumlah ciri-ciri berasaskan kecerdasan buatan melalui peranti ini, termasuk sokongan rakaman gambar dan penyuntingan untuk menambah orang lain dalam hasil rakaman, kebolehan membaiki gambar yang kabur, sokongan Google Circle to Search, dan sebagainya. Google menekankan pelbagai sokongan kecerdasan buatan turut menggunakan data sendiri sahaja, dan turut memfokuskan kepada privasi.

Google Pixel 9 menjadi peranti pertama yang hadir bersama sokongan Gemini Nano menyokong ciri multi-modal, sekaligus menjadikannya antara peranti dengan sokongan kecerdasan buatan yang menarik, serta berfungsi laju terus pada peranti.
Google Pixel 9 ditawarkan untuk pasaran Malaysia, dimana kita akan mendengar lanjut mengenainya lewat hari ini.
