Google Sedang Membangunkan “Jarvis” Yang Boleh Membantu Selesaikan Tugasan Melalui Pelayar Web

TechnologyDigital
27 Oct 2024 • 1:13 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Google sedia dikatakan sedang dalam persiapan memperkenalkan Gemini 2.0 pada Disember 2024 kelak. Disamping itu, kini laporan susulan hadir mengatakan Google turut akan mempertontonkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan baharu, yang boleh mengambil-alih pelayar web seseorang pengguna, dan melaksanakan sejumlah tugasan. Tugasan ini termasuk dalam melakukan kajian, melakukan pembelian, termasuk seperti menempah tiket penerbangan yang sesuai selepas membandingkan data daripada harga, kalendar dan sebagainya.

image is not available

Projek pembangunan ini dikatakan menggunakan nama kod “Jarvis” – lebih kurang seperti pembantu maya Iron Man dalam filem terbitan Marvel. Jarvis ini dikatakan akan dikuasakan oleh Gemini 2.0.

Dengan langkah ini, semestinya ia akan menarik untuk melihat apakah Google akan pertontonkan melalui Gemini 2.0 ini, selain bagaimanakah pesaing lain seperti OpenAI akan menawarkan produk mereka sebagai alternatif. Google mempunyai beberapa kelebihan memandangkan pengguna turut menggunakan penyelesaian lain seperti emel dan kalendar dibawah Google – sekaligus memudahkan lagi pengumpulan maklumat berkaitan.