
GoPro datang lagi dengan kamera aksi baharu yang dilengkapi sensor lebih besar berbanding pesaingnya DJI Osmo Action 6 dan Insta360 Ace Pro 2. Ketiga-tiga model GoPro Mission 1, GoPro Mission 1 Pro dan GoPro Mission 1 Pro ILS dilengkapi sensor 50MP sebesar 1″ 4:3.

Ia mampu merakam video pada tetapan 8Kp60 (16:9) dan 8K Open Gate 30p (4:3) serta kadar bit 240 Mbps, 10-bit GP-Log2, HLG HDR dan kemampuan rakaman gerak perlahan 96FPS. Kemampuan rakaman pada tetapan lebih tinggi hanya pada model GoPro Mission 1 Pro dan GoPro Mission 1 Pro ILS sahaja.

Kemampuan rakaman gambar pula ialah 50MP dengan terdapat kawalan penuh untuk ISO, pengatup, EV, dan white balance. Gambar juga menyokong mod 10-bit HLG HDR. Pada Q3 2026 kelak, Mission 1 Pro ILS akan dilancarkan dengan model ini dilengkapi cagak untuk lensa MFT. Dengan ini pemilik boleh menggunakan lensa kamera digital MFT mereka pada Mission 1 Pro ILS.
Sensor MFT yang digunakan dipadankan dengan pemproses GP3 yang meningkatkan kestabilan rakaman beresolusi tinggi, prestasi baik dalam situasi pencahayaan rendah dan pengurusan haba yang lebih baik.

Kerana ia masih sebuah kamera aksi, Mission 1 Pro mempunyai kemampuan kalis air sehingga 20 meter atau sehingga 60 meter apabila dipadankan dengan cangkerang menyelam. Butang pada kamera juga direka lebih besar bagi memudahkan ia digunakan walaupun dengan sarung tangan. Terdapat skrin 2.59″ OLED di belakang dan di depan pula 1.4″.
Sementara itu bateri Enduro 2 baharu mempunyai kapasiti 13% lebih besar memberikan kemampuan rakaman lebih 5 jam pada tetapan 1080p 16:9 24/25/30p, 101 minit pada tetapan 4K 120p dan 74 minit pada tetapan 8K 60p dengan adanya peredaran udara.
Walaupun GoPro Mission 1 Pro telah dilancarkan, masih tiada pengumuman harga kerana harga memori global yang tidak stabil.


