
SEPANG – Pihak pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memandang serius berhubung kesukaran dihadapi peminat dari segi pengangkutan pada Grand Prix (GP) Bahrain yang berlangsung di litar itu.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini, SIC menyatakan sepenuh komitmen bagi memastikan peminat mendapat pengalaman paling berharga ketika menikmati perlumbaan empat roda itu.
“Pengalaman serta keselamatan peminat sentiasa menjadi keutamaan di Litar Antarabangsa Sepang. Kami tahu mengenai cabaran yang dihadapi sesetengah peminat ketika datang dan pulang dari litar, terutamanya di waktu petang.
“Kami sedang bekerjasama dengan rakan pengangkutan serta pihak berkenaan bagi memperbaiki aliran trafik, bas perantara serta kawalan pengunjung hari ini,” kata SIC.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebahagian besar peminat yang datang menonton perlumbaan F1 terpaksa berjalan kaki lebih 8 kilometer untuk ke tempat parkir kenderaan.

Pada masa sama, SIC juga meminta semua peminat untuk merancang perjalanan dengan baik selain memantau maklumat terbaharu yang dimuat naik menerusi lama media rasmi mereka.
“Peminat-peminat yang datang ke perlumbaan ini digalakkan untuk merancang perjalanan terlebih dahulu selain merujuk kepada maklumat terbaharu menerusi laman media rasmi kami.
“Ketika tiba dan meninggalkan litar, sila ikut arahan yang dikeluarkan pihak berwajib di setiap lokasi kerana pengurusan trafik mungkin berubah-ubah mengikut keadaan semasa,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
The post GP Bahrain: SIC ambil maklum rungutan peminat appeared first on Kosmo Online.






