GP Malaysia: Hakim Danish mengganas, mula petak ketiga

31 Oct 2026 • 2:28 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: GP Malaysia: Hakim Danish mengganas, mula petak ketiga

SEPANG – Penantian selama 14 tahun untuk menyaksikan pelumba Malaysia memulakan perlumbaan Moto3 di barisan hadapan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akhirnya berakhir apabila Hakim Danish Ramli menamatkan sesi kelayakan di tempat ketiga terpantas pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Malaysia, sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan pelumba berusia 19 tahun berkenaan mengulangi pencapaian mentornya, Zulfahmi Khairuddin yang meraih petak utama pada edisi 2012.

Beraksi dalam musim sulungnya di Kejuaraan Motosikal Dunia, Hakim Danish mempamerkan tunggangan memukau pada sesi Kelayakan 2 (Q2) apabila mencatat masa dua minit 10.529 saat (s) untuk mengesahkan kedudukan dalam kelompok tiga terbaik.

“Bagi saya, mendapatkan tempat ketiga dalam sesi kelayakan tadi bukan sesuatu yang mudah. Namun, saya bekerja keras sejak awal pusingan dan terus menekan untuk mendapatkan tempat di barisan hadapan.

“Saya gembira kerana kali terakhir pada 2012, abang Fahmi (Zulfahmi Khairuddin) meraih petak utama, manakala hari ini saya berjaya mendapat tempat ketiga. Saya tidak akan berputus asa dan akan cuba melakukannya dengan lebih baik pada masa akan datang.

“Apapun, permulaan dari barisan hadapan sangat penting untuk saya kekal bersaing bersama kelompok depan. Saya akan cuba untuk terus bersama mereka sehingga tamat perlumbaan,” katanya ketika ditemui sejurus tamat sesi kelayakan hari ini.

Catatan itu meletakkan pelumba kelahiran Terengganu berkenaan di belakang pelumba CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles yang meraih petak utama dengan masa 2:10.396s, manakala Brian Uriarte daripada Red Bull KTM Ajo mengisi petak kedua dengan catatan 2:10.445s.

Kedudukan di barisan hadapan itu menjadi suntikan keyakinan buat Hakim Danish selepas melalui beberapa perlumbaan yang mencabar sebelum tiba di GP Malaysia.

Dalam pada itu, pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama daripada Honda Team Asia akan memulakan perlumbaan dari petak kelapan selepas mencatat masa 2:10.861s.  -KOSMO! ONLINE

The post GP Malaysia: Hakim Danish mengganas, mula petak ketiga appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved