
Setakat 9 Sept, pihak berkuasa Nepal mengesahkan 1,367 mayat telah ditemukan, manakala lebih 5,000 orang masih dilaporkan hilang.
KUALA LUMPUR: Global Peace Mission (GPM) Malaysia menggerakkan tiga petugas kemanusiaan ke Nepal mulai hari ini hingga 14 Sept untuk menilai keperluan mangsa susulan bencana alam yang melanda negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata misi tinjauan dan penilaian keperluan itu dilaksanakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Kebangsaan Nepal (NDRRMA).
Beliau berkata pasukan berkenaan akan menilai keadaan semasa di kawasan terjejas serta mengenal pasti keperluan mangsa bagi membolehkan bantuan pascabencana disalurkan secara lebih berkesan.
“Keutamaan bantuan awal ketika ini termasuk kit kebersihan, selimut dan bekalan makanan asas untuk keluarga yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fahmi berkata bencana pada 26 Ogos lepas mengakibatkan kemusnahan besar di beberapa kawasan, khususnya di sepanjang Sungai Bhote Koshi dan Trishuli.
Setakat 9 Sept, pihak berkuasa Nepal mengesahkan 1,367 mayat telah ditemukan, manakala lebih 5,000 orang masih dilaporkan hilang.
Beliau berkata GPM Malaysia turut menyeru rakyat Malaysia supaya bersama-sama menunjukkan solidariti dan membantu meringankan beban mangsa yang terjejas.
“Sokongan orang ramai amat diperlukan bagi membolehkan bantuan kecemasan disalurkan dengan segera kepada mereka yang memerlukan,” katanya.






