
PETALING JAYA – Grab Malaysia memperluaskan kerjasama berterusan dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menerusi pendigitalisasi Pasar Tani Kekal baharu di Putrajaya, melibatkan 18 peniaganya di platform Grab.
Menurut Grab Malaysia, ia membolehkan rakan peniaga yang menawarkan hasil segar, makanan serta minuman disenaraikan di GrabMart dan GrabFood, sekali gus meningkatkan keterlihatan serta peluang menjana pendapatan bagi perniagaan tempatan.
Sejak 2023, hampir 300 peniaga di lebih 30 Pasar Tani dan Pasar Tani Kekal didigitalkan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru menerusi kerjasama Grab dan Fama.
Usaha ini, katanya, membantu rakan peniaga mencapai kumpulan pengguna berpotensi yang lebih luas selain pelanggan yang datang ke premis fizikal.
Dalam pada itu, Pengarah Komersial dan Penghantaran, Grab Malaysia, Tan Jiong Jian berkata, dipandu oleh etos #GrabBersamaMalaysia, pihaknya sentiasa mencari cara untuk memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi mendorong perubahan bermakna dalam komuniti.
“Melalui kerjasama dengan Fama, kami memperkasakan perniagaan tempatan melalui platform Grab, dengan menjadikan proses penyertaan, penemuan dan penjualan dalam talian mudah diakses dan ringkas digunakan.
“Matlamat kami adalah untuk membantu mereka berkembang dengan meningkatkan potensi ekonomi, menawarkan keterlihatan yang lebih luas, sambil menjadikan pembelian lebih mudah dan lancar untuk pengguna,’’ katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Fama, Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya komited untuk bekerjasama dengan rakan seperti Grab Malaysia bagi mengoptimumkan keupayaan saling melengkapi masing-masing dalam memperkukuhkan saluran pemasaran dan jualan bagi perniagaan pertanian dan agromakanan tempatan.
“Melalui penerapan pendekatan moden seperti perkhidmatan penghantaran atas permintaan, kami dapat terus meningkatkan nilai ekonomi dan potensi pendapatan bagi peniaga pasar tradisional tempatan, sekali gus menarik penyertaan lebih ramai penggiat baharu dalam sektor kritikal ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, sebagai sebahagian kerjasama itu, Grab akan terus melaksanakan Projek Inkubator Pasar bersama Pasar Tani Kekal Datin Halimah di Johor Bahru dan peniaganya bagi membantu mereka berkembang serta berjaya di platform Grab.
Usaha ini bertujuan membantu peniaga tempatan berkembang dengan memanfaatkan pelbagai alat dan penyelesaian yang disediakan melalui platform GrabMerchant.
“Ini merangkumi program GrabMasterclass yang disusun khas untuk meningkatkan kemahiran peniaga melalui latihan khusus, bagi menyalurkan pengetahuan perlu tahu yang dapat membantu mereka berjaya di platform tersebut,’’ katanya.
Sementara itu, Muhammad Nur Iman Aminunnajmi dan ibunya, Julaidah Mohd Po’at yang mengusahakan Barangan Kering Julaidah, sebuah gerai menjual barangan runcit dan keperluan rumah di Pasar Tani Kekal Permas Jaya, Johor Bahru sejak lima tahun lalu gembira kerana dapat menyertai ekonomi digital dan mempelajarai cara baru untuk berniaga.
“Platform Grab sangat mesra pengguna, saya cepat mahir menggunakan sistem ini, malah ibu saya yang tidak begitu pandai teknologi juga semakin selesa menggunakan aplikasi GrabMerchant.
“Kami sebelum ini hanya bergantung pada pelanggan yang datang ke kedai pada hujung minggu. Dengan Grab, kami menerima pelanggan dalam talian setiap hari kami beroperasi. Sejak tahun lepas, kami telah mencatatkan pertumbuhan jualan kira-kira 12%, hasil platform Grab,’’ katanya.
Turut berkongsi pengalaman ialah Norlizawati Abdul Sukur, yang mengusahakan gerai Norliza Sayur di Pasar Tani Kekal Selayang di Selangor selama hampir tiga dekad, menjual sayur-sayuran dan barangan keperluan rumah sejak 1998, dan baru-baru ini menyertai platform Grab pada Mei 2025.
“Pada mulanya saya berasa ragu-ragu untuk menyertai platform digital, namun bantuan secara bersemuka dengan pasukan Grab semasa proses pengaktifan akaun peniaga serta keprihatinan mereka menjawab semua soalan kami telah banyak meredakan kebimbangan saya. Peluang menyertai sistem sedia ada seperti Grab sangat membantu,’’ katanya.
Menurut Norlizawati, dia tidak perlu membina sistem e-dagang sendiri atau menguruskan logistik, sebaliknya boleh menumpukan sepenuh perhatian pada penyediaan barangan dan jualan.
“Dahulu, saya pernah mencuba pelbagai cara untuk meningkatkan jualan kerana bilangan pelanggan yang mengunjungi kedai fizikal setiap hari sering tidak mencukupi.
“Kini, dengan Grab, saya telah mencapai pertumbuhan jualan sebanyak 20%. Akses kepada pangkalan pelanggan dalam talian Grab yang tersedia memang sangat membantu,’’ katanya. - 1 Oktober, 2025
The post Grab Malaysia perluas kerjasama dengan Fama, beri peluang peniaga jana pendapatan menerusi ekonomi digital appeared first on Scoop.



