Malaysia Airlines, Qantas perluas kesalinghubungan menerusi perkongsian kod baharu

LocalTravel
17 Sep 2025 • 10:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia Airlines, Qantas perluas kesalinghubungan menerusi perkongsian kod baharu

image is not available

17/09/2025 - 10:08

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept – Malaysia Airlines Bhd dan Qantas Airways Ltd kini menjalin kerjasama dengan perkongsian kod baharu bagi meningkatkan kesalinghubungan perjalanan, menawarkan manfaat tambahan dan pengalaman tanpa gangguan kepada penumpang merentasi Malaysia, Australia dan destinasi global yang lain.

Melalui kerjasama itu, Malaysia Airlines akan meletakkan kod penerbangan ‘MH’ pada 18 laluan domestik Qantas di Australia, termasuk ke bandar seperti Canberra, Darwin, Hobart dan Launceston yang membolehkan sambungan lebih lancar dari pintu masuk antarabangsa utama.

Qantas pula akan meletakkan kod ‘QF’ pada penerbangan Malaysia Airlines antara Kuala Lumpur dan lima bandar utama Australia iaitu Adelaide, Brisbane, Melbourne, Perth, dan Sydney.

Kod sama turut diletakkan pada laluan Kuala Lumpur ke Singapura serta destinasi popular Malaysia seperti Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi dan Pulau Pinang.

Kerjasama ini hadir seiring dengan rancangan pengembangan besar Malaysia Airlines di pasaran Australia hujung tahun ini.

Syarikat itu akan menyambung semula laluan Kuala Lumpur–Brisbane pada 29 November 2025 dengan lima penerbangan mingguan.

Selain itu, kekerapan ke Melbourne dan Sydney juga akan ditingkatkan kepada tiga kali sehari mulai 30 dan 31 Oktober 2025.

Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, laluan sedia ada ke Perth dan Adelaide juga akan dipertingkatkan.

Beliau berkata, laluan Perth akan meningkat daripada 12 kepada 14 penerbangan mingguan bermula 1 Disember 2025 manakala Adelaide daripada lima kepada tujuh penerbangan mingguan bermula 1 Februari 2026.

“Penambahan ini menandakan peningkatan kapasiti yang besar serta mengukuhkan komitmen jangka panjang Malaysia Airlines di Australia yang kekal sebagai pasaran teras dalam rangkaian kami.

“Perkongsian kami dengan Qantas merupakan langkah penting dalam memperkukuh kehadiran Malaysia Airlines di Australia, yang merupakan pasaran utama dalam strategi jangka panjang kami.

“Australia telah lama menjadi bahagian teras rangkaian kami dan pelaburan terbaru termasuk penggunaan A330neo, peningkatan kekerapan penerbangan serta penyambungan semula perkhidmatan ke Brisbane mencerminkan komitmen kami untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di samping menambah baik penawaran premium kami di pasaran ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Qantas International, Cam Wallace pula berkata, perkongsian itu akan memudahkan pelanggan Qantas melancong ke Malaysia dengan lebih mudah selain memperoleh manfaat mata kerap terbang dan perkhidmatan premium.

“Sebagai salah satu rakan oneworld kami di Asia, kami berbesar hati dapat mengeratkan hubungan dengan Malaysia Airlines.

“Sama ada untuk mesyuarat perniagaan di Kuala Lumpur, mendaki di Borneo, atau percutian pantai di Langkawi, Malaysia menawarkan sesuatu untuk semua dan perkongsian ini menjadikannya lebih mudah diakses berbanding sebelum ini.

“Ia juga mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan lebih banyak pilihan dan kemudahan melalui rangkaian rakan kongsi penerbangan yang semakin meluas,” katanya.

Sebagai ahli oneworld, Malaysia Airlines dan Qantas embuka akses kepada lebih 900 destinasi di seluruh dunia dengan menawarkan kemudahan perjalanan yang lancar merentasi rangkaian syarikat penerbangan global tersebut. - DagangNews.com

standard