Greater Kuching terima pelaburan infrastruktur digital RM550 juta bagi pembangunan bandar pintar

LocalTechnology
15 Oct 2026 • 4:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Greater Kuching terima pelaburan infrastruktur digital RM550 juta bagi pembangunan bandar pintar Image from: Greater Kuching terima pelaburan infrastruktur digital RM550 juta bagi pembangunan bandar pintar hamden15/10/2026 - 16:17 Pemandangan dari udara bandar raya Kuching. - Gambar/ DBKU Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt – Kuching bakal menerima pelaburan infrastruktur digital bernilai RM550 juta menerusi kerjasama kerajaan Persekutuan dan Sarawak bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan bandar, keselamatan awam serta kesalinghubungan digital.

 

Projek Bandar Pintar dan Kesalinghubungan Digital Kuching itu akan dilaksanakan pada peringkat awal di kawasan Greater Kuching, meliputi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).

 

Memorandum persefahaman (MoU) bagi projek berkenaan ditandatangani oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, dengan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), Datu Elizabeth Loh.

 

Majlis yang berlangsung di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak disaksikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

 

Kuching Smart City
Majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman Projek Bandar Pintar dan Kesalinghubungan Digital Kuching. - Gambar/UKAS

 

Fahmi berkata, projek itu dianggarkan bernilai RM550 juta dan akan memberikan rangsangan besar kepada pembangunan infrastruktur digital di Greater Kuching.

 

Projek berkenaan akan memperkukuh rangkaian teras kesalinghubungan bagi menyokong pelaksanaan perkhidmatan bandar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan data.

 

Antara inisiatif yang dirancang ialah pemantauan keselamatan bandar, sokongan tindak balas kecemasan, penyediaan Wi-Fi awam, penggunaan teknologi kembar digital serta pembangunan Pusat Operasi Rangkaian (NOC).

 

Infrastruktur itu turut merangkumi rangkaian gentian optik bagi menyokong aplikasi seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan pelbagai perkhidmatan bandar pintar lain.

 

Pelaksanaan projek berkenaan bertujuan meningkatkan pengurusan trafik dan kemudahan awam, mempercepat tindak balas terhadap insiden serta kecemasan, selain menjadikan penyampaian perkhidmatan bandar lebih cekap dan responsif terhadap keperluan penduduk.

 

Selain manfaat kepada penduduk, projek itu dijangka membuka peluang kepada sektor perniagaan menerusi akses lebih luas kepada infrastruktur digital dan perkhidmatan berasaskan teknologi.

 

Kerjasama itu mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan dan Sarawak untuk memanfaatkan teknologi digital, data serta AI bagi menyokong pembangunan bandar.

 

Inisiatif itu selaras dengan hala tuju Malaysia Digital 2030 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.

 

Pelaksanaannya turut mengambil kira aspek keselamatan siber, perlindungan data, keterangkuman serta tadbir urus yang bertanggungjawab. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved