hamden15/10/2026 - 17:42 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt – Fasa pertama pembangunan e.Sentral SmartCity di Damansara West bakal dimulakan susulan penganugerahan kontrak pembinaan utama bernilai RM220 juta kepada Alphazen Contract Sdn Bhd.
HCK Capital Group Bhd (HCK Capital) dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, projek berkenaan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.8 bilion.
e.Sentral merupakan bandar pintar pertama HCK Capital dan projek pertama Kumpulan yang dibangunkan berasaskan konsep “Tech and Trees”.
Pembangunan bercampur seluas 10 ekar itu terletak di Damansara West dan menggabungkan teknologi kehidupan pintar dengan akses terus kepada alam semula jadi.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merupakan pemegang saham sebanyak 30% dalam projek berkenaan.
Alphazen, yang diperbadankan di Malaysia pada 19 Januari 1996, merupakan syarikat dalam industri bangunan dan pembinaan.
Syarikat itu dimiliki sepenuhnya oleh Alphazen Group Sdn Bhd, yang seterusnya dimiliki oleh Chong Mong Tet dengan pegangan 35%, Yong Kok Shiang (35%), Yeong Yip Poh (15%) dan Chong Ernest (15%).
Alphazen telah menyiapkan lebih daripada 13,500 unit merangkumi pembangunan kediaman, komersial dan hospitaliti, termasuk Residensi Bintang @ Bukit Jalil yang mempunyai GDV RM954.7 juta serta Mercu Jalil @ PPAM Bukit Jalil dengan GDV RM354 juta.
HCK Capital berkata, kontrak pembinaan itu dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap pendapatan Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan pada masa hadapan. - DagangNews.com






